"Wahai Julaibib, mengapa kamu tidak menikah?"
Julaibib menjawab:
"Wahai Rasulullah, siapakah yang mahu menikahkan
(puterinya) denganku? Aku tidak mempunyai kedudukan dan tidak pula
berharta?"
Beberapa hari kemudian Rasulullah s.a.w. bertemu pula
dengannya. Rasulullah s.a.w. menanyakan lagi pertanyaan yang sama, dan dia pun
menjawabnya dengan jawapan yang sama pula. Pada pertemuan ketiga Rasulullah s.a.w.
mengajukan pertanyaan yang sama lagi, dan dijawabnya dengan jawaban serupa.
Maka bersabda Rasulullah s.a.w.:
"Wahai Julaibib, pergilah ke rumah fulan
(Rasulullah s.a.w. menyebut nama seorang Ansar) lalu katakan padanya:
"Rasulullah menyampaikan salam untukmu dan memintamu untuk mengahwinkanku
dengan anak perempuanmu."
Orang Ansar dimaksudkan berasal dari keluarga
terhormat, kaya dan terpandang. Manakala Julaibib seorang miskin termasuk
golongan asnaf yang layak disantuni melalui jejak asnaf, berpakaian usang lagi
lusuh, perutnya kerap lapar kelihatan pada kempisnya, kaki tidak berkasut,
berasal dari salasilah keturunan tidak terhormat, tiada kedudukan 'low profile', harta dan tidak pula keluarga.
Tiada rumah untuk berteduh seperti sifatnya gelandangan zaman milenium ini,
minum hanya dari air kolam umum yang diambil dengan timba, tidur di masjid,
tidur hanya berbantalkan tangan kanan, dan beralaskan pasir bercampur kerikil
bukan macam hari ini masjid-masjid seperti istana atau menyerupai hotel 5 bintang.
NAMUN begitu, dia adalah seorang yang selalu berzikir, membaca al-Quran dan
meletakkan diri pada saf terdepan sama ada ketika salat atau berperang.
Maka, Julaibib melangkah menuju rumah Sahabat Ansar
yang diperintahkan oleh Nabi s.a.w. itu. Diketuknya pintu rumah dan memberi
salam. Disampaikannya apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w..
Sahabat Ansar dimaksudkan mengatakan:
“Semoga kesejahteraan
tercurah untuk Rasulullah. Tetapi bagaimana boleh aku mengahwinkan anakku
denganmu yang tidak mempunyai kedudukan dan harta benda?"
Pada saat itu pula isteri Sahabat r.a. itu juga mendengar
pesanan Rasulullah s.a.w. yang disampaikan oleh Julaibib itu.
Dia pun kehairan dan tertanya-tanya:
" .... (dengan)
Julaibib, yang tidak mempunyai kedudukan dan harta?"
TETAPI dari dalam, puterinya yang mukminah mendengar dengan
teliti apa yang dikatakan oleh Julaibib dan pesanan Rasulullah s.a.w. yang
disampaikannya, segera anak dara mukminah itu berkata kepada kedua ibu bapanya:
"Apakah kalian
menolak permintaan Rasulullah? Tidak, demi Dzat yang jiwaku berada di
tanganNya."
Allahu Akhbar, manisnya anak dara syurga.
Maka, berlaku sebuah pernikahan yang penuh barakah,
melahirkan sebuah keluarga yang penuh barakah, rahmah, mawwadah serta
rumahtangga yang dibina atas dasar takwa dan mendapat keredhaanNya.
"Ya Allah,
jadikan rumahtangga kami yang dibina atas dasar takwa dan diredhai
olehMu."
Beberapa waktu kemudian, datanglah seruan jihad menghadapi
golongan kufur. Julaibib adalah antara
'figure' yang memegang falsafah:
"Tidak takut
dengan celaan orang-orang yang mencela"
Ditangan Julaibib saja, tujuh orang kufur dibunuh olehnya.
Beliau sendiri turut syahid.
Setelah perang usai, Rasulullah s.a.w. memeriksa semua
korban peperangan. Para Sahabat r.a. menyenaraikan nama-nama syuhada dan
memaklumkan pada Rasulullah s.a.w. tetapi nama Julaibib tiada dalam senarai itu
kerana dia tidak terkenal di kalangan Sahabat r.a. namun Rasulullah s.a.w.
ingat sangat kepadanya. Baginda s.a.w. hafal nama Julaibib sebagaimana seorang
bapa hafal nama anak-anaknya walaupun banyaknya seramai tiga puluh orang. (Yang
ini terpulanglah kepada tuan puan nak meletakkan jumlah anak-anak itu, jangan
hairan isteri-isteri yang barakahkan)
Lalu Rasulullah s.a.w. menyergah:
"Tetapi kini aku
kehilangan Julaibib."
Para Sahabat r.a. mencari-cari jasadnya dan Rasulullah
s.a.w. mendapati jasadnya penuh dengan debu dan Rasulullah s.a.w. mengusap
wajahnya seraya bersabda:
"Engkau telah
membunuh tujuh orang, lalu engkau sendiri terbunuh. Engkau sebahagian dariku
dan aku sebahagian darimu. Engkau sebahagian dariku dan aku sebahagian darimu.
Engkau sebahagian dariku dan aku sebahagian darimu."
Rasulullah s.a.w. mengulangi sebutan itu sebanyak tiga kali.
Julaibib adalah antara contoh sebenar keimanan, kecintaan Rasulullah
s.a.w. kepadanya, prinsip teguh sehingga dibawa ke mati. Manakala kemiskinan,
ketidakjelasan keturunannya tidak pernah menjadi penghambat untuk memperolehi
kedudukan yang mulia dan besar ini.
No comments:
Post a Comment