HERMAN SAMSUDEEN 24 APRIL 2018
SIAPA ahli PKR yang tidak
kenal dengan Tian Chua? Nama yang sinonim dengan perjuangan Reformasi. Setiap
demonstrasi dia hadir mewakili pimpinan PKR yang lain. Tidak seperti orang Cina
yang lain. Beliau sentiasa di hadapan, banyak kali dipukul, diterajang,
dibantai hingga koyak bajunya sebelum digari. Lori Black Maria Polis kenderaan
rasminya, penjara rumah keduanya.
Beliau pernah dipenjara di
bawah Akta ISA bersama Ezam dan lain-lain. Kesetiannya pada PKR tidak boleh
dipertikaikan. Semua orang Melayu, Cina dan India dalam PKR senang dan percaya
dengan Tian Chua kerana dia sangat sederhana dan boleh bercampur dan bersama
dengan rakyat marhaen.
Satu-satunya orang Cina yang
dilantik menjadi Naib Presiden PKR sejak 2004. Beliau antara orang terawal
membantu Wan Azizah menubuhkan PKR bersama Azmin dan Ezam. Hampir separuh
hidupnya bersama PKR.
Namun kemunculan geng
Ponorogo, diketuai Rafizi Ramli yang melabelkan Tian Chua sebagai geng Kartel
di bawah Azmin telah menyebabkan pergolakan dalaman yang hebat. Geng Ponorogo
mahu merampas kerusi Parlimen Batu untuk menghalang Tian Chua bertanding di
kerusi tradisinya itu.
Siapa Rafizi Ponorogo ini?
Rafizi (selepas ini saya sebut Ponorogo sahaja) adalah bekas pelajar MCKK dan
pernah menjadi Pengurus Kanan di beberapa anak syarikat Petronas. Ketika itu
Mahathir masih Pengerusi Petronas.
Dan agak pelik kerana
tiba-tiba Ponorogo berhenti dari Petronas pada 31 Julai 2009 sebelum menjadi
Pengurus Besar Pharmaniaga pada 10 Ogos 2009. 2 hari sebelum mula bekerja di
Pharmaniaga, Ponorogo kononnya bertemu secara "tidak dirancang"
dengan Anwar di Kemaman pada 8 Ogos 2009 dan menjadi Pengerusi ceramah Anwar
pada malam tersebut.
Kemudian selepas beberapa
bulan bekerja dengan Pharmaniaga, Ponorogo tiba-tiba dilantik sebagai CEO di
pejabat Penasihat Ekonomi Selangor sekali gus aktif bersama PKR. Kononnya Anwar
menemuinya dua kali untuk memujuknya sertai PKR. Penasihat Ekonomi Selangor
ketika itu adalah Anwar. Inilah fasa permulaan Ponorogo menyerap masuk dalam
PKR.
Ponorogo adalah generasi
junior Anwar di MCKK dan ini mempercepatkan keakraban mereka. Di awal
penglibatannya, Ponorogo menarik perhatian Anwar dan rakyat keseluruhannya
dengan pendedahan skandal NFC (projek ladang lembu suami Sharizat) dan beberapa
isu lain. Dari situ Ponorogo menambat perhatian ahli PKR untuk dicalonkan
sebagai ahli Parlimen Pandan pada 2013 dan menang.
Hingga ke hari ini semua orang
hairan macam mana dia boleh dapat maklumat tersebut dan menyebarkannya. Dan
semua yang dia bongkar adalah kroni Najib bukan kroni Mahathir.
Selepas berjaya menambat
keyakinan penyokong PKR, beliau mengatur fasa kedua dengan Langkah Kajang untuk
menyingkir Khalid Ibrahim yang setia dengan Anwar dan menaikkan Wan Azizah
sebagai MB untuk dijadikan bargain cip bagi menghalang Anwar dipenjarakan
kerana kes liwat. Namun misinya gagal kerana Sultan memilih Azmin. Ponorogo
ajak Pakatan menyalahkan PAS kerana membantah penyingkiran secara paksa Khalid
Ibrahim dan kemudian calonkan Azmin sebagai alternatif kepada Wan Azizah.
Bermula dari situ Ponorogo memulakan fasa ketiga beliau untuk membuang PAS dari
Pakatan.
Mengunakan rakan tali barut dalam
PAS seperti Khalid Samad, Ponorogo berjaya memecah belahkan PAS dengan menuduh
Presiden PAS ingin bergabung dengan Umno. Ponorogo akhirnya berjaya memecah PAS
dari dalam dan membuang PAS dari Pakatan.
Walaupun Langkah Kajang dan
hasrat melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar gagal, namun cita-cita
Ponorogo untuk porak-perandakan PKR baru bermula. Ketiadaan Anwar dalam PKR
kerana dipenjara menyukarkan aktiviti Ponorogo kerana Kartel Azmin sangat
berkuasa walaupun beliau berjaya menjadi Naib Presiden. Oleh itu Ponorogo
menggerakkan fasa ke-4 dengan mewujudkan Invoke.
Semua orang tahu, Ponorogo
tidak layak bertanding untuk PRU14 kerana kes BAFIA - NFC dan beliau telah
bersedia dengan mewujudkan Invoke lebih awal. Invoke satu badan NGO yang wujud
tanpa restu PKR, ianya satu badan haram dalam PKR.
Ponorogo membina tenteranya
melalui Invoke. Daripada bersendirian ketika mula-mula dibawa masuk oleh Anwar,
kini Ponorogo mempunyai tentera yang ramai. Dan dengan Invoke Ponorogo berjaya
memperdayakan Wan Azizah dengan menunjukkan kekuatan Invoke sebagai alternatif
kepada Kartel Azmin.
Ponorogo mengambil peluang
mendapatkan sokongan Wan Azizah dan Nurul Izzah untuk mengukuhkan kedudukannya
dalam PKR. Ponorogo menyerang Kartel Azmin dengan memainkan persepsi bahawa
Azmin berkomplot dengan PAS dan Umno merampas kerusi MB dari Azizah.
Aktiviti Invoke sangat fokus
untuk menarik orang muda dalam PKR untuk bersama Ponorogo. Ponorogo juga
berjaya menarik pemimpin PAN dan DAP untuk bersama Invoke dengan menawarkan tajaan
bagi calon-calon seperti Khalid, Mahfuz, Mat Sabu dan lain-lain melalui projek
Bina Semula Negara sempena PRU14.
Lathefa Koya yang juga ahli
Majlis Tertinggi PKR mengesahkan yang Ponorogo ini tidak pernah lagi hadir
Mesyuarat PKR selepas mewujudkan Invoke.
Kebangkitan fasa 5 geng
Ponorogo ini disaksikan dalam proses penamaan calon-calon PKR bagi PRU14. Di
mana selepas mereka berjaya bersekutu dengan Wan Azizah dengan mengambarkan
Kartel Azmin akan belot selepas PRU14, Ops cantas dimulakan. Kartel Azmin bakal
dihapuskan dari senarai kerusi selamat PKR dan digantikan dengan orang-orang
Ponorogo dari Invoke. Tian Chua adalah salah seorang sasaran mereka selain
Azmin, Zuraida, Lathefa dan ramai lagi. Sasaran mereka jelas, mereka akan
cadang pindahkan calon Kartel Azmin di kawasan luar Lembah Klang yang kurang
selamat atau calon-calon ini tidak dilantik terus. Geng Ponorogo menamakan
calon mereka sebagai pengganti.
Selain menubuhkan Invoke
sebagai tentera peribadi, Ponorogo juga melahirkan Invoke sebagai persiapan
sekiranya strategi fasa ke-5 ini gagal atau jika PKR hancur dan berpecah
selepas PRU14. Sekurang-kurangnya dengan Invoke beliau masih ada tempat untuk
meneruskan aktiviti politiknya dengan pihak lain. Perpecahan dalam PKR ini
memang dirancang dan bukannya secara kebetulan.
Ponorogo adalah Giant Assassin
dalam PKR dan Pakatan dalam senyap. Beliau telah "bunuh" Khalid
Ibrahim, biarkan Anwar dipenjarakan, buang PAS dari Pakatan, pecahkan PAS,
tundukkan Otai Reformasi kepada Mahathir dan kini sedang menghapuskan Kartel
Azmin.
Bila kita patah balik melihat
sejarah Ponorogo ini bermula dalam PKR. Ianya adalah sejarah misteri. Beliau
menjual nama rakannya Adlan Benar Omar atau Ben yang meninggalkan dunia pada
2008 sebagai inspirasi untuknya sertai PKR.
Walaupun beliau berkata menyokong
PKR sejak di Universiti, namun beliau lewat bersama PKR. Iaitu selepas PKR
sudah berkuasa dan BN kalah teruk di Selangor pada 2008. Tidak seperti Tian
Chua dan Azmin, mereka bermula ketika PKR tidak punya apa-apa. Sedangkan
Ponorogo hanya bertemu Anwar dua tiga kali sudah dilantik jadi CEO, kemudian
jadi MP PKR dan jadi Naib Presiden PKR. Semuanya kurang dari 5 tahun.
Ponorogo disyaki spy Mahathir
kerana beliau bekerja di Petronas ketika Mahathir Pengerusinya. Beliau masuk
terlebih dahulu dalam PKR untuk hancurkan imej Anwar dengan idea Langkah
kajang. Kononnya Anwar tidak akan dipenjara jika berjaya gadai Selangor pada BN
bila Anwar atau Azizah jadi MB.
Dokumen Langkah Kajang memang
sengaja dibocor supaya PAS bergaduh dengan Anwar. PAS mencalonkan Azmin dan
Anwar ke penjara. Kemudian Pakatan pecah dengan PAS juga berpecah. Kini PKR
pula dipecahkannya selepas mengangkat Mahathir jadi calon PM walaupun Kartel
Azmin menolak.
Ponorogo sebenarnya dikatakan
sudah lama bekerja untuk Mahathir. Misi Mahathir sebenarnya adalah menghapuskan
semua musuh Umno-BN dari dalam tulang rusuk musuhnya sendiri. Sebab itu dia
hantar Ponorogo dahulu dan kemudian selepas fasa kedua berjaya memisahkan PAS
dari Pakatan, barulah Mahathir keluar Umno tubuh PPBM tapi tidak bersama PKR,
manakala Rafizi tubuh Invoke juga di luar PKR.
Mahathir jika masuk PKR tidak
akan jadi Presiden sebab Wan Azizah ada, nak jadi Ketua Umum pun tidak boleh
sebab Anwar masih hidup walaupun dipenjara. Lagipun PKR ditubuhkan kerana Anwar
dipecat oleh Mahathir.
Oleh itu Mahathir perlukan
satu jawatan besar untuk memposisikan dirinya lebih tinggi atau sebaris
Presiden parti-parti komponen Pakatan. Jadi menubuhkan PPBM dan jadi Penasihat
adalah laluan paling mudah. Walaupun PPBM adalah parti yang sangat rapuh, tapi
cukup untuk Mahathir berpijak untuk merebut jawatan Pengerusi PH dan calon PM.
PPBM sengaja dibiarkan
digantung oleh ROS atas sebab strategi. Pertama, ingin tarik simpati rakyat
pada Mahathir yang kononnya dibuli Najib. Kedua, sebagai alasan untuk
menggunakan bendera PKR tanpa perlu jadi ahli PKR. Ini sudah dirancang awal
sebab majoriti penyokong PH lebih percaya PKR dari Mahathir. Ini adalah taktik
untuk kelirukan penyokong PKR dan PH. Sekali gus menukar objektif PKR heret
Mahathir dan Najib ke mahkamah kepada heret Najib sahaja.
Mahathir tawan PKR dengan cara
ini dan DAP serta PAN jadi bodoh, mengikut di belakang tanpa soal jawab. Memang
Mahathir tak suka Najib, tapi dia lebih risau Anwar dan Pakatan yang berjaya
tewaskan undi popular kepada BN pada 2013.
Jika dia tak masuk sekarang
dan PH menang PRU14, dia juga akan dibicarakan. Sekarang, sama ada PH atau BN
menang, dia akan selamat kerana BN belum cukup berani heret beliau ke mahkamah
lantaran orang-orang BN ramai yang terlibat sama dengan penyelewengan Mahathir.
Ini cara paling mudah untuk
beliau tewaskan Pakatan dengan strategi Trojan Horse. Selepas hantar Rafizi,
Mahathir pula masuk untuk total disaster ke atas musuh-musuh politiknya.
Perasan tak Mahathir tidak
pernah serang BN secara keterlaluan sepanjang bersama Pakatan, beliau hanya
serang Najib. Sama ada Pakatan menang atau BN menang, Mahathir boleh balik
kepada Umno BN pada bila-bila masa. Ketika itu rakyat sudah hilang kepercayaan
kepada semua pakatan pembangkang yang selama ini menjadi saingan kuat BN.
Semua orang PH kata ini semua
adalah idea gila. Mustahil Mahathir balik ke Umno. Tengok Anwar kata mereka,
dari dulu hingga kini masih dengan pembangkang.
Hei! Jangan lupa, sepanjang
Anwar dalam Pakatan, masanya banyak dihabiskan di penjara. Anwar lawan
Mahathir, Anwar masuk penjara. Mahathir lawan Najib, Anwar juga kena penjara.
Banyak projek politik Anwar terbengkalai kerana asyik dipenjarakan.
Jika dulu Pakatan kata
mustahil Mahathir bersama Anwar dan DAP, kini yang mustahil itu sudah tidak
mustahil. Mahathir juga sudah beberapa kali keluar masuk Umno.
Dia lawan Tunku Abd Rahman dan
keluar Umno, kemudian masuk balik. Dia lawan Pak Lah, Keluar Umno kemudian
masuk balik. Kini lawan Najib, keluar Umno, tunggulah dia masuk balik.
Jika Najib setuju kembalikan
projek kroni beliau atau Najib berjaya dijatuhkan, Mahathir akan kembali
memeluk Umno-BN. Dari Umno dia datang, kepada Umno dia akan kembali.
Ponorogo adalah buah catur
Mahathir. Azmin dan Tian Chua adalah penghalang mereka dalam PKR. DAP dan PAN
bersedialah. Satu persatu musuh Mahathir dalam Pakatan akan dimusnahkan.
Saya kesian tengok rakan-rakan
lama dan Reformis dalam PKR sekarang. Suara mereka semakin terpinggir. Wan
Azizah sebagai Presiden sangat lemah. Jika orang seperti Azmin dan Tian Chua
tiada, sudah lama PKR bungkus. Wan Azizah hanya fokus untuk membebaskan Anwar.
Manakala urusan politik PKR dibiarkan bergoncang. Wan Azizah sanggup gadai apa
sahaja termasuk partinya untuk bebaskan Anwar.
Diharapkan rakan-rakan PKR
yang benar-benar berjuang untuk rakyat menyokong PAS selepas ini. Jika PKR
menang di Selangor, krisis perlantikan Menteri Besar baru akan lebih buruk
keadaannya berbanding sebelum ini. Ini tidak akan menguntungkan rakyat kerana
pemimpin PKR bergaduh sesama sendiri.
HERMAN SAMSUDEEN
Bangsar South
23 April 2018 - HARAKAHDAILY
24/4/2018
Sumber: http://www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment