Puad Zarkashi | Diterbitkan 26 Apr 2018, 11:56 malam |
Dikemaskini 27 Apr 2018, 12:52 tengah malam
Saya tahu ramai yang akan mengecam saya kerana posting
terbaru ini. Saya tidak akan menjawab komen balas mereka. Yang penting saya
mendedahkan apa yang ada dalam hati nurani saya. Lagi pun saya sudah mengatakan
“I will fight until the last drop”.
Orang akan kata saya kecewa dan marah. Katakanlah apa
sahaja. Itulah sahaja tuduhan yang mereka ada sedangkan saya ada keberanian
mengkritik apa yang saya yakini kemungkaran sistem yang rosak.
Saya tidak mengkritik 'Umno Perjuangan'. Sebab itu saya
meletak jawatan sebagai KP JASA kerana saya ada keyakinan diri. Kini saya tidak
terikat dengan apa apa.
Datuk Seri Khaled Nordin menjadikan “Muafakat Johor” juga
umpama sampah. Team Johor sebenarnya adalah Team Khaled. Akhirnya pemilihan
calon lebih menjurus kepada kronisme dan persiapan untuk menghadapi pemilihan
parti akan datang.
Orang yang bersama beliau mengkritik Datuk Seri Najib Razak
dalam grup Whatsapp semuanya kekal sebagai calon. Ada antara mereka berani
menuntut Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Kenapa saya kata begitu. Kalau betul muafakat, kenapa tidak
dirundingi Umno Bahagian dalam pemilihan calon. Ini yang berlaku di Parlimen
Batu Pahat. Ketua Bahagian tidak dirundingi.
Khaled sesuka hati mengubah senarai calon bukan lagi
berasaskan merit tetapi pertimbangan sokongan politik dan persaingan dalam
parti.
Bayangkan Syarifah Azizah Syed Zain dari Bahagian Keluang
boleh bertanding di DUN Penawar Parlimen Penggerang. Apa jasa Syarifah di sana?
Apa khidmat yang dia telah lakukan untuk mendekati pengundi
sebelum menjadi calon.
Kawasan difaraidkan sesama mereka
Kenapa orang yang menghabiskan masanya di kawasannya sendiri
dengan begitu mudah diketepikan?
Apakah Khaled mengamalkan muafakat Johor? Apakah Khaled
yakin silent protest tidak akan berlaku.
Begitu juga Datuk Onn Hafiz Ghazi iaitu setiausaha politik
kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang merupakan ahli Umno di Bahagian
Sembrong, boleh pula berpindah dan bertanding di DUN Layang Layang dalam
Parlimen Simpang Renggam. Di mana muafakatnya?
Begitu mudah kawasan-kawasan ini difaraidkan sesama mereka
semata-mata mengisi keperluan strategi politik masing masing.
Begitu juga di DUN Serom, senarai juga berubah di saat akhir
kerana memenuhi amalan kronisme yang tidak terkawal. Ketua Wanita Bahagian pada
mulanya dicalonkan untuk memenuhi kuota Wanita tetapi dimangsakan oleh mereka
yang ada kuasa mengubah.
Sebab itu saya kata sistem kita sudah rosak oleh mereka yang
mengatakan sistem kali ini terbaik. Sehingga ada calon yang gambarnya di atas
katil bersama perempuan bukan mahram juga terpilih sebagai calon.
Seperti yang sebut diawal tadi, jangan marah dengan apa yang
saya tulis ini. Kalau tidak anda adalah double standard kerana menuduh saya
marah tetapi anda pula marah kerana kritikan saya.
Saya tidak terikat apa-apa. Sebab itu keputusan saya meletak
jawatan ketua pengarah JASA adalah tepat.
Saya tetap tabah tetapi semakin berani dengan ujian ini.
-----------------------------
DATUK MOHD PUAD ZARKASHI ialah anggota Majlis Tertinggi Umno
dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi
dan Multimedia.
Ulasan ini asalnya hantaran di laman Facebook penulis.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan
pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment