– Tan Sri Musa Hassan By
Wartawan Menara
- April 25, 2018
Kuala Lumpur: “Kes pembunuhan Imam warga Palestin yang
juga seorang jurutera bernama Fadi al-Batsh, 35, di Kondiminium Idaman Puteri,
Setapak baru-baru ini didakwa melibatkan agen asing (angkara Mossad) adalah
perkara yang amat merbahaya kerana dikatakan melibatkan risikan agen asing yang
datang ke negara kita dan ini merupakan kes kedua berlaku di sini,”
demikian tegas mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Menurutnya, kes seumpama ini,
yang pertama adalah dikaitkan dengan pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri kepada
pemimpin Korea Utara iaitu anak sulung Kim Jong II yang dibunuh agen saraf VX
pada 13 Febuari 2017 di KLIA2 selepas seorang wanita didakwa menyapu mukanya
dengan bahan kimia beracun.
Beliau berkata, ini adalah
trend yang tidak baik untuk negara kita kerana kita khuatir bahawa
perisik-perisik asing ini akan menggunakan negara kita untuk melakukan sesuatu
perkara di luar batas walaupun ia adalah berkaitan dengan salah laku di negara
mereka.
“Jadi perkara ini adalah suatu perkara yang patut kita pantau
betul-betul kerana ditakuti nanti akan melibatkan warga kita sendiri.”
Ditanya, mengenai sesetengah
media cuba menggambarkan beliau (Fadi al-Batsh) sebagai pakar roket dan
seumpamanya yang seolah-olah mahu memberikan justifikasi beliau dibunuh kejam
Tan Sri Musa Hassan berkata, “kita tidak
tahu secara terperinci latar belakang beliau sebenarnya, tetapi saya selalu
merasa apabila sesuatu perkara yang berlaku yakni apabila melibatkan orang
bermusuhan sudah tentu untuk menjustifikasikan tindakan mereka maka mereka akan
menuduh dia membuat roket, pakar bom dan sebagainya tetapi kita tidak ada bukti
yang menunjukkan benda itu betul.
“Kalau benar dia pakar roket sekalipun lebih baik dia lakukan di
negaranya sendiri buat apa dia datang ke sini.”
“Jadi ini satu perkara yang saya rasa bahaya kerana selalunya kita
takuti bahawa berlakunya False-flag istilah yang sering digunakan oleh ‘Spy’
ataupun agen risikan profesional.”
Beliau berkata, False-flag
adalah berkaitan satu operasi sulit (covert) yang dilakukan oleh sesuatu pihak
menggunakan tipu daya (deception) bagi tujuan menuduh ia dilakukan oleh
kumpulan tertentu atau negara tertentu. Selalunya dilakukan oleh pakar-pakar
dalam perisikan untuk melakukan huru-hara dalam sesebuah Negara.
Menurut beliau lagi, modus
operandinya “apabila agen-agen perisik
ini melakuan sesuatu jenayah tetapi mereka menunding jari kepada orang lain
sehingga berlakunya pergaduhan di dalam negara tersebut.”
“Jadi pihak penguatkuasa seperti polis perlu
memantau dan mengenal pasti aktiviti-aktiviti agen luar kalau mereka ada di
negara kita kerana mereka ini kadang-kadang melibatkan diri sebagai NGO dan
sebagainya bagi mengaburi gerakan mereka.”
Persoalannya, adakah tepat
sangkaan bahawa Malaysia dilihat sebagai negara yang mudah untuk pembunuh
upahan keluar masuk terutamanya selepas kes Korea Utara kemudiannya kes Imam
Palestin pula Tan Sri Musa Hassan berkata, hal ini kerana mereka ini boleh
sahaja datang ke negara kita sebagai pelancong dan sebagainya, sebab itu kita
sentiasa kena ada hubungan rapat dengan agensi-agensi perisikan luar negara
supaya kita mengetahui gerakan dan tindakan-tindakan dalam negara kita.
Menurut beliau, walaupun negara
kita bersikap terbuka menerima kehadiran pelancong asing dengan pebagai status
dan latar belakang maka kita tetap perlu berhati-hati dengan perkara seumpama
ini.
“Misalnya, di negara kita sendiri ramai pendatang tanpa izin yang boleh
direkrut oleh pihak-pihak berkenaan, sebab itu kita tidak boleh terlepas
pandang dan perlu sentiasa berhati-hati kerana kita tidak tahu mereka berkiblat
di mana.”
Bagaimanapun, kita tidak
menuduh mana-mana negara tetapi cara bagaimana dilakukan menunjukkan kerja
mereka yang profesional dan pihak polis juga sudah mengeluarkan gambar lakaran
pihak yang terlibat dan inilah peranan pihak polis untuk menyiasat dan mengenal
pasti mana-mana pihak yang terlibat.
Ujar beliau, “Pihak keselamatan perlu sentiasa alert dan
mendapatkan maklumat-maklumat tertentu kerana ini merupakan satu perkara yang
boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat dan negara, tetapi jika terlalu
takut sangat pun tidak boleh juga, maka sebaiknya kita kena sentiasa
berwaspada.”
Saranan beliau, “Orang ramai tidak perlu gusar kerana saya
percaya pasukan polis kita mempunyai kepakaran-kepakaran tertentu dan tahu cara
bagaimana untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara ini daripada dicerobohi
atau didatangkan ancaman yang tidak selamat oleh pihak-pihak yang lain.”
Read more at: https://www.menara.my
No comments:
Post a Comment