Alat Pertukaran Barangan
Allah s.w.t. berfirman:
"Dan jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman ( terhadap Allah
dan rasul-rasul mereka ) dan bertakwa (tidak kafir dan maksiat ) pastilah Kami
akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit ( dengan melalui hujan ) dan
bumi ( dengan melalui tetumbuhan ) tetapi mereka mendustakan ( rasul-rasul )
maka Kami siksa mereka ( Kami hukum mereka) disebabkan perbuatan mereka
sendiri." (Quran, surah Al-A'raf: 96)
Wang adalah sesuatu pengukur
bagi menentukan nilai sesuatu barangan. Maknanya perantaraan untuk alat
pertukaran antara barangan yang diperlukan.
Wang sangat diperlukan untuk
mengukuhkan kehidupan yang penuh prinsip. Ia mempunyai kekuatan dan pengaruh
yang luar biasa.
Perniagaan yang berskala
kecil, bersifat saiz runcitan kurang sangat diperdebatkan dalam percaturan
meraih bidaan, kerana bukan bersifat monopoli, berunding terus, perbincangan
tertutup dan bersifat konsesi terpilih.
Berbeza dengan perniagaan
bersifat mega. Ia tidak memerlukan perjuangan dan pengorbanan dalam merebut
peluang perniagaan kerana ia perniagaan kontrak tertutup. Pemberian terus tanpa
kompromi, kerana di sana ada nilai perniagaan yang mendatangkan wang.
Ada perniagaan yang dijalankan
dengan mengeluarkan baucar-baucar bayaran tetapi aktivitinya kosong-kosong.
Nilainya pula dikreditkan. Perkara ini disebut; 'perakaunan menjuling' atau 'perakaunan
senyap'.
Kadang-kadang ada cadangan
perniagaan menggantikan hasil perahan
otak individu lain, ia diciplak dengan beberapa penambahbaikan, ditebuk di sana
sini bagi menjustifikasikan rancangan perniagaan itu bersifat 'genuine', kerana
di sana ada nilai wang.
Ada pula perniagaan tidak
berlatarbelakangkan konsep tetapi ia lebih kepada mengaktifkan aktiviti
perniagaan. Ia melihat kepada falsafah menjana pendapatan melalui aktiviti
perniagaan bertaraf dunia.
Tidak kurang juga perniagaan
yang kosong-kosong lalu direka suatu modul kaedah mengeluarkan wang dari
perbendaharaan.
Perniagaan yang berjaya bukan
sahaja dilakukan secara cermat, telus dan berintegriti tetapi turut dilakukan
dengan berkenyit mata dan menjuling pandangan kerana perniagaan menguntungkan terpampang di hadapan.
Jangankan kicauan burung dan bunyi nyamuk sukar didengar, bahkan sapaan angin
sepoi-sepoi bahasa pun sukar dirasai kerana rapatnya pintu ketika perbincangan dilakukan.
Ahli perniagaan berfikir dan
melihat peluang; nilaian, cadangan, bidaan, perubahan semasa dan keutamaan,
dengan meletakkan harga munasabah mengikut pasaran semasa dan
perubahan-perubahan diluar jangkaan kerana di sana ada nilai wang.
Sesungguhnya masyarakat yang
makmur dipimpin oleh ahli-ahli perniagaan yang amanah, jujur, berintegriti dan menentang
syaitan, manakala masyarakat yang rosak dipimpin oleh ahli-ahli perniagaan yang
berpakat, berkenyit-kenyit mata dan korup kerana di sana ada wang yang boleh
dicairkan yang senang masuk saku setelah melalui perbincangan.
No comments:
Post a Comment