ABDUL MUEIN ABADI 22
APRIL 2018
DUNIA seolah-olah terhenti serta-merta di Malaysia apabila
seorang Imam muda dari Palestin, dikenali sebagai Imam Dr. Fadi Al-Batsh
dibunuh sewaktu perjalanan mengerjakan solat Subuh.
Lebih tragis, beliau syahid meninggalkan seorang balu dengan
tiga orang anak yang masih kecil. Siapa yang mengarahkan pembunuhan ini
dilakukan? Kenapa Imam Fadi menjadi sasaran? Apakah isyarat pembunuhan ini
kepada kita?
Sememangnya tidak mustahil bahawa pembunuhan kejam ini
didalangi ejen asing khususnya ejen perisikan Israel Mossad yang berjaya
menyusup masuk ke negara kita seperti mana kenyataan Timbalan Perdana Menteri
sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Imam Fadi perlu diketahui bukanlah sebarangan imam. Beliau
juga adalah merupakan seorang pensyarah bidang Kejuruteraan Elektrik di sebuah
IPT di negara kita dengan kelulusan Doktor Falsafah. Beliau bukan sahaja sering
diundang menjadi Imam solat Tarawikh pada bulan Ramadan, bahkan juga aktif memainkan
peranan penting dalam usaha pengumpulan dana dari Malaysia untuk disalurkan
kepada mereka yang memerlukan di Palestin.
Fakta ini jelas menunjuk ke arah satu kesimpulan yang tidak
dapat dinafikan dengan mudah. Israel tentulah tidak selesa dengan kewujudan
seorang insan yang begitu seimbang dari segi kehebatan rohani dan juga akalnya.
Apatah lagi berupaya menjadi ‘jambatan’ dalam menyalurkan dana dari Malaysia ke
Palestin. Masa yang dipilih juga menyokong hipotesis ini. Bulan Ramadan bakal
menjelang tiba tidak lama lagi dan pastinya dana dari Malaysia bakal
mencurah-curah disalurkan ke Palestin oleh Imam Fadi jika beliau tidak
dihalang.
Selain daripada hipotesis "Imam Fadi sebagai penyalur
dana dari Malaysia ke Palestin", tentulah terdapat pelbagai andaian lain
yang berkemungkinan membawa kepada berlakunya tragedi ini. Adakah beliau
mempunyai hubungan dengan Hamas? Adakah kepakaran Kejuruteraan beliau ada
disalurkan ke Hamas lalu menjadi ancaman kepada Rejim Zionis? Malah terdapat
laporan bahawa seorang ahli keluarga beliau Taisir al-Batsh yang dikatakan
merupakan Ketua Polis Gaza juga telah dibunuh Rejim Zionis. Masih terlalu
banyak pembuktian yang perlu dilakukan dan tugas ini kita serahkan kepada pihak
berkuasa kita, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Laporan setakat ini menyatakan bahawa dua pembunuh yang
bertanggungjawab melepaskan 10 das tembakan terhadap beliau sudah pun menunggu
selama 20 minit sebelum melakukan pembunuhan tersebut. Berdasarkan jumlah
tembakan yang sebegitu banyak tanpa sebarang petunjuk motif ragut atau rompakan
yang jelas, pembunuhan sebegini amat mirip sekali dengan modus operandi
"Targeted Killing" atau "Pembunuhan Bersasar" yang
diamalkan oleh Israel sejak sekian lama.
"Pembunuhan Bersasar" ini dijalankan secara cekap
melibatkan ejen Israel yang melakukan pembunuhan ke atas individu-individu
berprofil tinggi mahu pun individu di balik tabir yang bergiat mengancam
kedudukan strategik Rejim Zionis. Mereka menyusup masuk melangkaui kedaulatan
negara asing dan menjalankan pembunuhan kejam.
Menurut rekod, "Pembunuhan Bersasar adalah suatu bentuk
serangan ketenteraan Israel yang paling signifikan dan kerap" di mana ia
bukan sahaja merupakan aktiviti keganasan, tetapi juga "alat politik"
untuk mengukuhkan kawalan ke atas penjajahan mereka di Palestin.
Israel sememangnya tidak segan sama sekali untuk melakukan
pembunuhan di luar negara demi melindungi survival negara haram mereka. Contoh
yang paling jelas ialah pembunuhan berturut-turut dua pemimpin Hamas di
Palestin iaitu Syeikh Ahmed Yasin dan juga Dr. Abdul Aziz Rantisi.
Sebelum 2001 Israel menafikan bahawa mereka mengamalkan
polisi hukuman bunuh tanpa perbicaraan sebegini. Hanya apabila Intifada Kedua
meletus mulai November 2000 barulah mereka mengakui ada menjalankan
"Pembunuhan Bersasar untuk pencegahan" (preemptive Targeted Killing).
Sebenarnya sejak tahun 1950-an lagi Israel telah pun dituduh menjalankan
operasi haram sebegini di luar wilayah jajahan mereka.
Keputusan untuk menjalankan pembunuhan sebegini telah
diperkenalkan kembali oleh Ariel Sharon. Mahkamah Israel tidak lagi terlibat
dalam memutuskan sebarang keputusan "Pembunuhan Bersasar" ini
sebaliknya terletak sepenuhnya pada budi bicara Perdana Menteri Israel dan
badan perkhidmatan rahsia Israel, Shin Bet.
Setakat ini terdapat tiga fakta besar yang sama sekali tidak
dapat ditolak: Imam Fadi tidak diketahui sebagai seorang yang bermusuh dengan
sesiapa; pihak yang paling ‘beruntung’ dengan kematian beliau ialah rejim haram
Zionis; modus operandi "Pembunuhan Bersasar" sebegini bukanlah asing
bagi Zionis.
Kita wajib mendoakan semoga pasukan penyiasat PDRM berjaya
menghadapkan pembunuh Imam Fadi ini ke muka pengadilan dan pembunuh berhati
binatang ini menerima pembalasan yang setimpal. Sekiranya kelak dibuktikan
bahawa sememangnya wujud campur tangan asing dalam kes ini terutama sekali
Mossad Israel, maka ia merupakan isyarat jelas bahawa rejim haram tersebut
telah menceroboh kedaulatan negara kita dan wajar diberi pengajaran yang bukan
sebarangan.
Oleh: ABDUL MUEIN ABADI
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) - HARAKAHDAILY 22/4/2018
No comments:
Post a Comment