By Editor Yadim - Sunday, 22 April, 2018098
BAGAN DATUK 21 April – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr.
Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan seorang pensyarah British Malaysian Institute
Universiti Kuala Lumpur (Unikl BMI) warga Palestin yang mati ditembak
merupakan seorang pakar kejuruteraan elektrik dalam penghasilan roket.
Ahmad Zahid berkata, hasil maklumat Polis Bukit Aman
mendapati kematian Dr. Fadi Mohammed Al Batsh berkemungkinan mempunyai kaitan
dengan perisikan negara luar yang mengesyaki beliau mempunyai saham dari segi
sumbangan melatih pelajar UniKL BMI atau menjadi liabiliti kepada negara yang
bermusuhan dengan Palestin.
Menurut Ahmad Zahid, Dr. Fadi yang merupakan seorang
pemastautin tetap dan telah menetap lebih 10 tahun di negara ini, sepatutnya
berlepas ke Turki tengah hari ini untuk menghadiri satu persidangan
antarabangsa.
Tambah beliau, Dr. Fadi juga seorang bekas penuntut Ijazah
Doktor Falsafah (PhD) Universiti Malaya yang aktif dalam pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) Islam serta dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Hamas.
“Saya turut berdukacita atas kematian Dr. Fadi ini, namun
polis akan meneruskan siasatan dari semua sudut sehingga tertangkapnya dua
lelaki Eropah yang menaiki motosikal BMW GS 1100 CC kerana melakukan perbuatan
jenayah di negara ini.
“Kita sentiasa bekerjasama dengan Polis Antarabangsa
(Interpol) dan Aseanapol bagi menjejaki penjenayah berkenaan. Kita juga
berharap penjenayah ini akan dapat dikesan segera oleh Jabatan Siasatan Jenayah
(JSJ), oleh itu kita akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan
GiatMara Bagan Datuk di Jalan Besar, Hutan Melintang dekat sini hari ini yang
turut dihadiri oleh Pengerusi GiatMara, Datuk Azian Osman.
Sementara itu, kematian Dr. Fadi Mohammed Al Batsh turut
mendapat liputan portal berita di Asia Barat hari ini.
Pergerakan Hamas mengesahkan Dr. Fadi yang pernah menetap
bersama ahli keluarganya di kawasan Jabalya, utara Gaza merupakan ahli
kumpulannya.
Gambar-gambar yang dikeluarkan media Palestin menunjukkan
seorang lelaki terbaring di lantai dengan luka tembakan di kepala dan dada.
Ahli keluarga mangsa menuduh agensi perisikan Mossad milik
Israel sebagai dalang serangan ke atas jurutera itu.
“Kami menuduh Mossad bertanggungjawab ke atas pembunuhan
anak kami,” kata kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak keluarga mangsa.
Menurut keluarga mangsa, Dr. Fadi sepatutnya terbang ke
Turki untuk mempengerusikan persidangan antarabangsa mengenai tenaga esok.
Seorang pemimpin kanan kumpulan Jihad Islam Palestin, Khaled
Al Batsh turut menuduh Mossad bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut dan
menyeru pihak berkuasa Malaysia bertindak segera bagi menghalang penjenayah
terlibat melarikan diri dari negara itu.
Menurut portal berita Safa, Dr. Fadi bekerja untuk Pihak
Berkuasa Tenaga di Gaza sebelum datang ke Malaysia. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment