Bahlul seorang wali Allah,
dilahirkan di Kuffah, Iraq dan disemadikan di Syria. Sehingga hari ini makamnya
kekal di sana (kecuali jika peluru berpandu berkuasa tinggi yang dimiliki oleh
Amerika dan Rusia tidak menyasarkan pada makamnya) dengan ditulis namanya
ditembok simen sebagai Mohamad Bahloul. Namun nama asalnya adalah Wahab Ibn
Amr.
Dalam bahasa Arab bahlul itu
maksudnya orang cerdik - bijaksana. Sebaliknya kita memahami maksud bahlul itu
seperti yang dicatatkan oleh Kamus Dewan sebagai;
'Bangang, bodoh, tongong, tak ada cita-cita.
'Bangang, bodoh, tongong, tak ada cita-cita.
Bagi sebahagian masyarakat tempatan Indonesia ia dimaksudkan
sebagai gila.
Namun disebalik nama bahlul
itu rupa-rupanya ia adalah mantan seorang hakim dan ilmuan Islam yang hidup
pada zaman pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rasyid. Ia dikenali sebagai Bahlul
kerana dia telah meninggalkan kekayaan dan kemewahan hidupnya lalu mengubah
sifatnya menjadi gelandangan dengan gaya biasa sebagai fakir.
Nama Bahlul, samalah
dengan kita menyebutkan panggilan kepada para Sahabat r.a. seperti Abu Bakar
As-Siddiq r.a., walaupun nama asalnya Abdullah Ibn Abi Qahafah. Abu Hurairah
r.a., nama sebenarnya Abdurrahman bin Shahr Al- Azdi. Abu Darda r.a., atau
Uwaimir bin Malik Al-Khazraji.
Manakala perawi hadith
terunggul Imam Bukhari, nama sebenarnya, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim.
Gelaranya Bukhari kerana tempat lahirnya di Bukhara.
Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, nama sebenarnya adalah Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih namun lebih 'popular' dengan P. Ramlee, dalam dialog-dialog filem arahan dan lakunannya acapkali menyatakan sebutan
'bahlul'.
Walau bagaimanapun, perkataan
tersebut dipandang dari pelbagai dimensi.
Ramai orang tidak kisah pun tentang
panggilan itu dan tidak kurang pula yang sensitif dengan ucapan 'bahlul' disebabkan
pemahaman masyarakat melalui sebutan itu, tetapi dialog-dialog menggunakan
sebutan yang kita fikirkan bersifat negatif itu, rupa-rupanya bermaksud memberi
kata-kata pujian dan sanjungan, cumanya ia bersifat satira dan cereka.
Satu contoh tentang kehebatan
Bahlul ketika beliau berdiskusi dengan
Khalifah Harun Ar-Rasyid sebelum kemangkatannya.
Suatu ketika baginda sultan
telah memberikan (menghadiahkan) sebatang kayu (tongkat) kepada Bahlul dan
berkata:
"Batang kayu (tongkat) ini, wahai Bahlul milik seorang lelaki yang
paling bodoh atas muka bumi ini. Jika kamu terjumpa dengan seorang lelaki yang
layak memilikinya lebih dari kamu, berikanlah kepadanya."
Bahlul mengambil batang kayu
(tongkat) itu. Selepas beberapa tahun, Khalifah Harun Ar-Rasyid sakit dan tidak
ada tabib yang boleh menyembuhkan penyakitnya. Bila berita khalifah sedang
sakit yang amat sangat, maka Bahlul datang menzirahinya di istana.
Semasa Bahlul dan khalifah
bersemuka, maka berlaku dialog antara mereka di mana khalifah memberitahu
bahawa ia akan berpindah ke dunia lain.
Bahlul bertanya:
"Ke dunia lain? Berapa lama engkau akan pergi dan bila pula engkau
akan balik (kembali)?"
Khalifah memberitahu bahawa
sesiapa yang pergi ke dunia lain itu tiada siapa yang akan kembali ke dunia
sekarang. Bahlul mengatakan bahawa khalifah telah melakukan persiapan teratur
kerana ia perjalanan yang kekal dengan diawasi oleh tentera sama ada semasa,
sebelum dan selepas sampai di sana. Khalifah mengatakan bahawa keberangkatannya
tidak diiringi dan tiada persiapan rapi (kebesaran).
Maka berkatalah Bahlul:
"Wahai Amirul Mukminin, sebelum ini engkau menghantar tentera
sebagai persiapan (peninjau) untuk suatu misi walaupun untuk sehari dua! Dan
kini engkau akan pergi ke suatu tempat yang engkau akan tinggal di sana untuk
selama-lamanya. Dan engkau (pula) tidak membuat sebarang persiapan untuk
menghadapinya? Ambillah batang kayu (tongkat) ini, aku telah berjumpa dengan
seseorang yang lebih layak untuk memilikinya".
No comments:
Post a Comment