Sambungan keluaran lalu:
"SALAMUN 'ALAIKUM BIMA SHABARTUM FA 'NIKMA
UQBADDAR"
Allah s.w.t. mengabadikan kecekalan orang-orang beriman
semasa hayat mereka dalam al-Quran seperti mana firmanNya:
سَلَـٰمٌ عَلَيۡكُم بِمَا صَبَرۡتُمۡۚ فَنِعۡمَ عُقۡبَى
ٱلدَّارِ
"(Memberi hormat dengan berkata): "Selamat
sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya
balasan amal kamu di dunia dahulu." (Quran, surah ar-Ra'd: 24)
Apabila fikiran kita tercurah pada kebahagiaan akhirat;
tentulah segala musibah akan terasa ringan bebannya, air mata yang menitis
membasahi pipi pada mereka yang ditimpa bencana dengan sendirinya berhenti
mengalir dan menjadi kering membeku, hatinya pula akan selalu berbahagia dan
fikirannya memandang masa hadapan dipenuhi kegemilangan dan keceriaan kerana
hidup yang meyakinkan.
Seumpama mereka yang menderita kelaparan, kekurangan,
kesedihan, menderita penyakit yang sukar sembuh, selalu mengalami kerugian,
dizalimi, maka ingatkan diri kita dan mereka pada kesabaran dan kenikmatan
syurga yang kekal abadi.
Sekiranya kita benar-benar meyakini agama ini dan mengamalkan
ajarannya; nescaya kita mampu mengubah setiap yang merugikan menjadi keuntungan,
setiap bencana menjadi nikmat, setiap kesukaran menjadi kelapangan, setiap
keperitan menjadi keceriaan dan kematian menjadi kehidupan.
Seperti, pejuang-pejuang mujahiddin mewakafkan kehidupan
mereka menghadapi golongan kufar. Mereka menggamitnya dengan keyakinan mutlak.
Golongan kufar bukan saja gerun terhadap mereka, tetapi lari
lintang-pukang melihat senjata canggih yang dimiliki oleh mereka.
Belum berhadapan, baru mendengar 'perkhabaran' telah kecut
perut apatah lagi bila berada di depan mata. Hebatnya 'izzah' mereka.
Maka wajarlah kita peringatkan golongan kufar supaya jangan
'main-main' dengan Islam.
Ramai di kalangan manusia bersedih hanya kerana perkara
remeh. Lihat saja orang-orang munafik; betapa rendahnya semangat, komitmen dan
tekad mereka dalam pemahaman beragama.
Contoh perkataan-perkataan yang mereka luahkan, antaranya; ‘janganlah
kamu sekalian berangkat (pergi berperang) di dalam panas terik ini, Allah dan
RasulNya tidak menjanjikan kepada kami
melainkan tipudaya, kami takut akan mendapat bencana’ dan banyak lagi yang tuan
puan boleh senaraikan bagi menunjukkan sikap mereka apabila dalam situasi
berhadapan dengan pihak kufur.
Kasihan mereka, telah dikalahkan dalam perang saraf sebelum
berhadapan dengan realiti, jiwa mereka sengsara sebelum tiupan jihad bermula
dan jasadnya mati sebelum dibunuh oleh kekufuran.
Hidup mereka hanya terbatas kepada soal perut, piring yang
penuh makanan, rumah dan istana, pengangkutan dan kenderaan, berjalan
bersiar-siar dari kota ke kota dan bersukaria, mengorek-ngorek wang amanah.
Mereka tidak mendongak ke atas, memandang langit menjadi
perbandingan hidup di dunia.
Selamanya mereka tidak akan melihat bintang-bintang, bulan
dan matahari kemuliaan di atas langit sana. Mereka mementingkan sesuatu hanya
terbatas kepada pengetahuan mereka tentang bersukaria, bersiar-siar, kenderaan,
pakaian, makanan dan hawa nafsu.
Mari kita perhatikan perjalanan hidup manusia; kita melihat
pagi dan petang dan akan terbawa-bawa sampai ke malam dalam kesedihan.
Kesedihannya pula hanya disebabkan perselisihan dengan isteri dan ister-isteri,
anak-anak, pak atau ibu mertua, adik-beradik atau kerabatnya yang terdekat.
Setiap pagi dan petang, ada saja terdengar kata-kata yang
tidak menyeronokkan dan terlihat di sana sikap yang tidak menyenangkan. Itu
semua pada dasarnya adalah musibah bagi manusia seperti itu.
Manusia lain pula, kebanyakan aktiviti yang mereka lakukan
tidak berdasarkan motivasi dan niat yang agung, mereka merancang sesuatu untuk
masa hadapan di rumah-rumah sunyi jauh terpinggir dari kicauan burung-burung
kerana duit amanah boleh dilaburkan.
Saat-saat gembira mereka dihabiskan tidak berorientasikan
kepentingan yang mulia, sebaliknya bagaimana mengukuhkan pasak-pasak dan
membuai-buai perasaan masyarakat awam terpesona?
Kita lihat pula komitmen para Sahabat Rasulullah s.a.w.
untuk selalu berada di bawah naungan Islam diwujudkan bai'ah (sumpah berjanji
setia). Perkara itu menjadi sebab mereka selalu mendapat keredhaan Allah s.w.t..
Namun demikian, terdapat salah seorang daripada Sahabat r.a. yang mementingkan
untanya sehingga melewatkan proses bai'ahnya, kerana itu sikap yang demikianlah,
hasil yang ia perolehi hanyalah kesialan dan kerugian.
Maka tinggalkanlah perkara-perkara yang remeh dan tidak
penting, jangan sampai kita hanya disibukkan olehnya dan waktu kita dihabiskan
kerananya. Nescaya kita akan merasa sebahagian besar kesedihan.
Kesenangan dan kegembiraan pula akan tersisih, maka kenikmatan
yang kita rasai akan lenyap bersama kehidupan sia-sia yang diserap oleh zaman.
Maaf! Zaman itu tidak akan kembali lagi.
Bersambung pula.
No comments:
Post a Comment