Diterbitkan: Rabu, 2 Mei 2018
3:11 PM
PUTRAJAYA: Bila memperkatakan
mengenai cara mengundi, yang sentiasa terbayang dalam fikiran adalah cara tanda
pangkah dalam kotak pilihan kertas undi
sebagai tanda pilihan pengundi kepada pihak yang disokong.
Maka timbul telahan sekiranya
pengundi menggunakan tanda selain pangkah, undi itu akan dianggap tidak
diterima atau ditolak.
Namun anggapan di atas
sebenarnya kurang tepat.Dalam proses pengiraan undi, pihak SPR sedaya upaya
memastikan setiap undi diberi keadilan sewajarnya untuk diterima berdasarkan
undang-undang yang diguna pakai untuk menjalankan proses pilihan raya.
Oleh itu, setiap kertas undi
yang bertanda akan diperhatikan dengan
teliti untuk menentukan sama ada ia boleh digunakan dalam pengiraan undi.Ia
juga bertujuan untuk mengurangkan jumlah undi ditolak, demi kepentingan semua
pihak yang bertanding.
Umum sedia maklum cara yang
betul untuk menanda kertas undi adalah dengan menggunakan tanda pangkah.Tanda
pangkah perlu dilukis dalam kotak yang disediakan di kertas undi.
Tanda ini perlu berada
betul-betul dalam kotak dan tidak melepasi sempadan sehingga melangkau masuk ke
ruang calon yang lain.
Ini bermaksud tanda pangkah
itu tidak sepatutnya melangkau masuk ke ruang memangkah, ruang logo ataupun
ruang nama calon pada kertas undi.
Sekiranya pengundi menanda
kertas undi menggunakan apa-apa tanda selain tanda pangkah, undi mereka akan
dimasukkan dalam kategori undi ragu sewaktu proses pengiraan undi. Proses ini
akan turut disaksikan dan dipantau ejen mengira undi pihak-pihak yang
bertanding.
Situasi undi ragu juga boleh
berlaku jika pengundi menanda pangkah atau apa-apa tanda selain pangkah pada
ruang logo atau ruang nama calon yang bertanding dan bukannya pada ruang
memangkah yang disediakan.
Status undi ragu tidak akan
menyebabkan kertas undi ditolak secara automatik. Sebaliknya ia akan dinilai
semula oleh petugas pilihan raya seperti Ketua Tempat Mengundi (KTM) atau jika
perlu, oleh Pegawai Pengurus atau Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya di
tempat mereka ditugaskan.
Tetapi ini tidak bermaksud
pengundi boleh sewenang-wenangnya menggunakan sebarang tanda sesuka hati mereka
untuk mengundi.Dalam keadaan sebeginilah buku ‘Panduan Untuk Memutuskan Undi
Ragu Mengandungi Pindaan Sehingga
2017' terbitan Akademi Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
(SPR), dijadikan rujukan.
Buku ini mengandungi panduan
dalam bentuk penjelasan dan gambarajah untuk rujukan KTM bagi tujuan membuat
keputusan untuk menentukan sesuatu undi ragu itu diterima atau ditolak.
Menggunakan panduan ini,
sebarang pertikaian tentang status setiap helai kertas undi yang telah ditanda
dapat diselesaikan dengan segera menggunakan kaedah yang tepat dan memuaskan
hati semua pihak terlibat.
Ia sekali gus dapat
mengelakkan tuduhan kononnya Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai berat sebelah dan
tidak berlaku adil dalam menjalankan proses demokrasi berparlimen negara
menerusi pilihan raya yang bebas dan adil.
Menurut buku panduan ini
terdapat sembilan situasi yang menyebabkan sesuatu undi ragu boleh diterima dan
sepuluh situasi yang menyebabkan undi ragu ditolak.
Sebagai contoh, sekiranya
tanda yang dibuat menunjukkan dengan jelas calon yang diundi, berkemungkinan
besar undi itu diterima.Sekiranya kertas undi terkoyak sedikit atau terkena
dakwat pilihan raya tetapi tidak menjejaskan butiran undi di dalamnya, ia juga
masih diterima.
Dalam Pilihan Raya Umum 14
(PRU 14) yang akan berlangsung pada 9 Mei ini, setiap pengundi pasti mahu
memastikan pilihan mereka diambil kira untuk menentukan pemenang pilihan raya.
Justeru mereka perlu mengelak
daripada melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan kertas undi mereka ditolak.
Setiap undi akan menentukan nasib rakyat di sesuatu kawasan dan seluruh
negara.Perkara pertama yang perlu pengundi pastikan adalah kertas undi mereka
dicap atau ditindik dengan tanda rasmi SPR.
Sekiranya kedua-dua perkara
ini tidak berlaku, pengundi perlu memastikan kertas undinya ditanda tangani KTM
di bahagian atas sebelah kiri kertas undi.
Antara kesalahan yang
menyebabkan undi ditolak adalah menanda undi kepada lebih daripada satu calon,
tanda undi yang melangkaui ruang calon yang lain serta membuat tanda di luar
ruang nama calon, ruang simbol atau ruang untuk memangkah.
Pengundi juga dilarang membuat
sebarang tanda atau catatan yang membolehkan dirinya dikenali melalui tanda
atau catatan itu seperti menulis nama, nombor telefon atau nama samaran.
Melukis di atas kertas undi juga dilarang.Perbuatan menulis sebarang perkataan
termasuk perkataan lucah, sensitif dan yang berbentuk persendaan adalah tidak
dibenarkan.
Kesemua perbuatan yang
dinyatakan di atas akan menyebabkan undi ditolak.Selain itu kertas undi yang
dikoyak, sengaja diceraikan atau dikoyakkan nombor sirinya serta kertas undi
yang kosong juga akan ditolak.
Jika kertas undi terkoyak atau
kotor dengan dakwat pilihan raya, pengundi boleh memohon kertas undi yang
baharu daripada KTM.
Peraturan 25 (9) Peraturan-peraturan Pilihan
Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 menyatakan ‘Sebelum menolak sesuatu kertas
undi, ketua tempat mengundi hendaklah menunjukkannya kepada calon, ejen pilihan
raya atau ejen mengiranya, jika hadir dan menimbangkan pendapat mereka
mengenainya'.
KTM perlu mendengar pendapat
dan pandangan pihak yang dinyatakan dalam Peraturan 25 (9) dalam proses membuat
pertimbangan untuk menerima atau menolak undi ragu yang dinilai.
KTM juga perlu memastikan
dirinya konsisten dalam membuat keputusan dalam penilaian beliau bagi setiap
kes kertas undi ragu yang serupa atau seakan-akan serupa.
Dalam kata lain, SPR tidak
akan sewenang-wenangnya menerima sesuatu undi ragu untuk dikira dan dalam masa
yang sama tidak pula semudahnya menolak kertas undi dalam kategori ragu.Panduan
ini turut menyatakan satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah niat
seseorang pengundi.
Jika niat seseorang untuk
memberikan undi kepada mana-mana calon dapat dilihat dengan jelas maka undi itu
diterima.
Sebaliknya jika niat pengundi
tidak dapat dilihat dengan jelas maka undi itu hendaklah ditolak.-Bernama
Tags / Kata Kunci:
PRU14
Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/05/02/undi-dgn-betul/#wHGwkRXmbz0TZBme.99
No comments:
Post a Comment