Tuesday, 27 June 2017

SALAMUN 'ALAIKUM BIMA SHABARTUM FA 'NIKMA UQBADDAR



Allah s.w.t. mengabadikan kecekalan orang-orang beriman semasa hayat mereka dalam al-Quran seperti mana firmanNya:


سَلَـٰمٌ عَلَيۡكُم بِمَا صَبَرۡتُمۡۚ فَنِعۡمَ عُقۡبَى ٱلدَّارِ


"(Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu." (Quran, surah ar-Ra'd: 24)


Wahai orang-orang dilanda masalah kefakiran.
Wahai orang-orang yang sedang dilanda kemiskinan.
Wahai orang-orang yang diliputi kesusahan.
Wahai orang-orang yang mengalami penderitan jiwa.
Wahai orang-orang yang diuji dengan berbagai macam kesulitan.
Wahai orang-orang yang dipertanggungjawabkan amanah dan memaling-malingkan dengan tangan, akal dan gerak-gerinya, ambillah peringatan untuk kemaslahatan diri. Jangan mendajal seperti Amerika melambai-lambai MH370 terperosok di lautan dalam di Laut Hindi.

Tuan/puan yang dimuliakan Allah s.w.t., tingkatkan dan teruslah beramal dengan amalan yang saleh. Semoga kita ditempatkan di dalam syurga yang telah Allah s.w.t. siapkan untuk kita, agar kita dapat berdekatan dan dengan mudah mencapai denganNya, Allah s.w.t. Yang Maha Suci.

Manusia yang paling berakal adalah mereka yang sentiasa melakukan sesuatu berorientasikan akhirat. Mereka pula menyakini bahawa akhirat itu adalah lebih baik dan kekal abadi.

Sebaliknya, manusia yang paling corot atau ringkasnya manusia bodoh di dunia adalah mereka yang memandang dunia ini sebagai tempat kekal mereka; rumah kekal mereka, keseronokan hidup kekal mereka, dan tujuan akhir dari semua harapan dan cita-cita mereka.

Mereka tahu, umur mereka sehari ke sehari semakin menyusut, kesihatan mereka dari masa ke semasa semakin lemah, kuasa dan pengaruh mereka semakin hilang bukan saja kepada kawan-kawan @rakyat yang pernah dipimpinnya tetapi termasuklah juga dengan anak-anaknya yang mula meminggirkan tanpa disedari olehnya.

Manusia yang berfikiran sedemikian, adalah orang yang paling sedih ketika menghadapi sesuatu musibah dan orang yang paling menyesal ketika ditimpa sesuatu bencana.

Itu semua, hanyalah kerana mereka memandang kepada kehidupan dunia yang fana dan hina ini. Mereka tidak pernah memikirkan hal yang lain, selain kepentingan dunia; wang, pangkat, wanita, kuasa, keseronokan dan nama. Tidak melakukan sesuatu kecuali hanya untuk dunia. Bahkan, mereka seolah-olah tidak rela sedikit pun keceriaan, kegembiraan dan privasi mereka di dunia ini diganggu, dikotori dan pihak lain masuk campur urusan peribadi mereka. Mereka sensitif apabila keduniaan mereka dipertikai tetapi menjadi layu apabila dajal memulas keyakinan mereka.

Sebaliknya, sekiranya mereka membuka tabir kesedihan yang menutupi hati mereka dan membuka kebodohan yang menutupi mata mereka itu, nescaya mereka akan berbicara kepada diri mereka sendiri tentang masih adanya tempat tinggal yang kekal abadi (akhirat), pelbagai kenikmatan yang diperolehi di dalamnya, dan juga tentang istana-istananya yang indah. Mereka juga akan senentiasa terdiam mendengarkan penjelasan-penjelasan wahyu Illahi tentang gambaran keindahan akhirat.

Mengapakah kita kurang menyedarinya? Atau kita terpaku oleh keindahan alam dunianya; bangunan pencakar langitnya, keindahan pemandangan panorama dengan rumah menghiasi lereng-lereng bukitnya, dan keriangan meraba perasaan jiwanya? Atau zamannya telah berubah? Barangkali ada sebabnya.

Marilah kita kurangkan membuncitkan perut terutamanya berwaspada tentang amanah-amanah yang kita kawal selia, kita jangan membuai-buai perasaan kawan dengan memek muka tangisan mata mengenyit, kita jangan menjulingkan mata sambil tangan menarik sesuatu, kita jangan bermain silap mata kerana kawan-kawan menyorak dan mereka terlibat sama mendapat faraid, kita jangan berlakun di depan golongan OKU kerana kawan-kawan lain prihatin memahaminya cuma mereka mengambil sikap 'husnuz zhan'.

Ambillah kerahmatan hari ini, kerana esok tidak menjanjikan kepastian. Berapa ramai sahabat-sahabat kita semalam ketawa-ria, bicara bermadah, berjalan bersama tapi hari ini mereka telah tiada. Kemana mereka pergi?

Jangan kita teruskan amalan orang-orang degil kerana sambaran api boleh menyapa bila-bila masa.

Sesungguhnya, demi Allah, akhirat itulah yang sebenar-benarnya tempat kembali yang layak untuk diberikan perhatian dan memerlukan usaha yang gigih, keras dan sabar untuk meraihnya. Siapakah mereka itu? Kitalah. Anda semua.

Bersambung . . .





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title