Saturday 22 April 2023

Rombak modul kursus praperkahwinan


Oleh Ercy Gracella Ajos - April 21, 2023 @ 9:30am

bhnews@bh.com.my

 

KUALA LUMPUR: Modul kursus praperkahwinan pasangan Islam di negara ini perlu dirombak dan disesuaikan dengan keperluan semasa seperti ilmu berhubung pengurusan mental dan emosi serta berkaitan jenayah keganasan rumah tangga.

Mengemukakan syor itu, ahli kriminologi dan aktivis masyarakat serta pejuang hak wanita, berpandangan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) yang dikawal selia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu ditambah baik.

Mereka menyarankan modul sedia ada dinilai semula kesesuaiannya dan beberapa modul baharu dimasukkan, khususnya bagi menangani kes keganasan rumah tangga, termasuk kejadian bunuh pasangan oleh suami atau isteri yang membimbangkan.

Antara dicadangkan mereka, termasuk modul berkaitan jenayah dalam kursus untuk mendedahkan pasangan suami isteri mengenai aspek jenayah berkaitan keganasan rumah tangga seperti pukul dan dera, selain pengurusan kesihatan mental dan amarah.

 

DISYORKAN UNTUK ANDA

Kursus kahwin wajar diteruskan selepas nikah

Syor ilmu urus rumah tangga secara berkala untuk pasangan lama berkahwin

MAINPP, JAINPP akan bincang kandungan baharu kursus praperkahwinan

Perceraian pasangan bawah 30 tahun kian meningkat

Kursus praperkahwinan mungkin diwajibkan kepada pasangan bukan islam

Pengaruh media sosial punca perkahwinan rapuh

Kurang bukti punca sukar dakwa orang ketiga ganggu perkahwinan

Pernikahan di thailand tak diiktiraf jika tak daftar dengan jabatan

 

Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata sudah sampai masa modul berkaitan jenayah dimasukkan dalam kursus praperkahwinan untuk memberi pendidikan serta peringatan kepada pasangan supaya tidak melakukan apa-apa jenayah sekalipun.

Katanya, perlakuan jenayah, khususnya sehingga menyebabkan kematian, bukan sekadar mendatangkan kesan kepada keluarga yang ditinggalkan, terutama anak, tetapi turut mengundang pelbagai masalah sosial dalam masyarakat sekiranya tidak ditangani.

Beliau mengakui, pelbagai faktor boleh menjadi punca pergaduhan antara suami dan isteri, namun antara yang utama ialah ekonomi, pengaruh dadah, cemburu atau tekanan jiwa

"Jika suami atau isteri dipengaruhi keadaan demikian, sudah pasti tindakan dilakukan di luar kawalan," katanya percaya pendedahan mengenai aspek jenayah mampu membantu pasangan menilai situasi lebih baik, terutama dalam konteks impak dan mudarat hasil tindakan yang diambil.

Ketika ini, MBKPI mempunyai 10 modul dengan masa kursus keseluruhan 13 jam kredit.

Kursus biasanya diadakan dua hari bagi membincangkan tajuk Tasawwur Islam; Perkahwinan; Prosedur Perkahwinan serta Tanggungjawab Suami Isteri.

Baki modul ialah Komunikasi Suami Isteri; Pengurusan Kewangan; Pengurusan Kesihatan, Pengurusan Stres dan Konflik; Pembubaran Perkahwinan; Majlis Akad Nikah dan Walimatulurus.

Bagi orang bukan Islam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses menyediakan kertas cadangan bagi penubuhan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji kebolehlaksanaan mewajibkan kursus praperkahwinan kepada pasangan bukan Islam.



Kes sebenar lebih banyak

Shahul Hamid percaya jumlah sebenar kes jenayah keganasan rumah tangga mungkin lebih besar berbanding yang dilapor.

"Sebab itulah pendidikan dan peringatan awal menerusi modul berkaitan jenayah dalam kursus praperkahwinan perlu diwujudkan. Melalui modul ini, pakar motivasi, sebagai contoh boleh membantu menyelesaikan masalah dihadapi suami isteri.

"Ia boleh dilaksanakan menerusi kursus yang dilengkapkan dengan input berkaitan jenayah dan bagaimana menangani tekanan," katanya.

Beliau mencadangkan suami atau isteri turut diajar membuat aduan di balai polis atau memaklumkan kepada ahli keluarga jika tingkah laku pasangan mengalami perubahan terlalu ketara.

"Sentimen tidak mahu malukan pasangan atau ahli keluarga, perlu diketepikan kerana ini akan menyebabkan keadaan lebih parah.

"Tiada apa perlu dimalukan dan keadaan ini penting untuk pencegahan supaya perkara tidak diingini dapat dielakkan," katanya.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan tiga kes suami disyaki membunuh isteri, semua dalam tempoh hanya kira-kira sebulan. Tiga kes terbabit masing-masing berlaku di Sabah, Terengganu dan Perlis.

Kejadian terbaharu pada 8 April lalu apabila seorang lelaki dipercayai menikam isterinya sehingga mati di gerai sayur dekat Kepayan, Kota Kinabalu dengan motif disyaki cemburu.

Tiga hari sebelum itu, seorang wanita maut dipukul suami dengan tukul besi di Dungun, Terengganu dan polis tidak menolak masalah kewangan sebagai punca kejadian.

Pada 5 Mac, seorang suri rumah maut ditembak suami, anggota polis berpangkat lans koperal di Simpang Empat, Perlis.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, berkata ilmu pengurusan amarah perlu dipertimbang sebagai sebahagian pengisian kursus praperkahwinan.

"Ini untuk mengelak pertelingkahan suami isteri berakhir dengan jenayah yang meragut nyawa pasangan seperti dilaporkan akhir-akhir ini.

"Dua kes suami bunuh isteri baru-baru ini dapat disimpulkan bahawa isu pengurusan marah di pihak suami adalah lemah.

"Kita lihat mudah untuk suami mendapatkan peralatan bahaya seperti tukul, pisau dan sebagainya untuk melampiaskan amarah kepada isteri.

"Jika suami dilengkapi ilmu pengurusan amarah, saya percaya perkara seperti ini boleh dielakkan," katanya.

Beliau mengakui pertelingkahan di antara suami isteri adalah lumrah, namun akhir-akhir ini, banyak yang berakhir dengan jenayah sehingga mengorbankan nyawa pasangan.

"Keadaan ini berbeza dengan zaman dulu. Oleh itu, penting untuk memperkasakan kursus berlatarbelakangkan pengurusan amarah sejak anak di bangku sekolah kerana perkara ini juga berkait rapat dengan isu buli di sekolah.

"Jika kita lihat video buli dalam kalangan pelajar sekolah di sosial media, ia banyak berlaku dalam kalangan pelajar lelaki. Kita bimbang keadaan itu yang menjadi punca mereka mula menjinakkan diri menggunakan kekerasan dan peralatan tajam.

"Andai perkara seperti ini berlaku, maka boleh terbawa-bawa sehingga mereka berkahwin dan yang menjadi mangsa adalah isteri," katanya.

Dr Rafidah Hanim percaya, ketika anak meningkat dewasa dan ingin mendirikan rumah tangga, mereka juga wajib untuk mendapatkan ilmu pengurusan amarah menerusi kursus praperkahwinan supaya dapat memantapkan lagi diri sebelum masuk alam perkahwinan.

 

Pautan: rombak modul kursus praperkahwinan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title