Friday 28 April 2023

Ekonomi bayangan 'curi' hasil cukai negara

Ekonomi bayangan berkait rapat dengan isu pematuhan cukai - Foto hiasan


Oleh Alzahrin Alias - April 28, 2023 @ 2:30pm

zahrin@bh.com.my


KUALA LUMPUR: Jumlah perniagaan yang tidak berdaftar, tidak berlesen dan tidak membuat pengisytiharan cukai menyebabkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia masih lagi besar iaitu di antara 20 hingga 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia turut didorong peningkatan jumlah pekerja sambilan yang menerima bayaran gaji atau upah secara tunai bagi mengelak untuk melaporkan pendapatan dan membayar cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Istilah ekonomi bayangan merujuk kepada kegiatan ekonomi yang dikaitkan dengan jenayah termasuk penyeludupan senjata, tembakau, dadah, pelacuran, perjudian haram, pemalsuan pasport dan penyeludupan manusia.

Namun, ekonomi bayangan turut membabitkan sektor ekonomi formal yang tidak berdaftar seperti pekerja yang membuat tugasan bebas, pekerja sambilan, pekerja ekonomi gig, pempengaruh media sosial, peniaga pasar malam dan peniaga dalam talian.

 

DISYORKAN UNTUK ANDA

Kerajaan dijangka peroleh RM300b dengan pelaksanaan e-invois

E-invois rancakkan pendigitalan ekonomi negara

E-invois tingkat kualiti pembayar cukai

E-invois tingkat pematuhan cukai tangani ketirisan

Perluasan hasil cukai, kutipan lebih berkesan tingkat pendapatan Negara

Sistem e-invois mandatori kepada syarikat besar bermula Jun tahun depan

LHDN perkenal e-invois ganti resit untuk pelepasan cukai

LHDN sekat 180,216 individu ke luar negara, gagal bayar cukai RM793 bilion

 

Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, berkata, berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Kewangan, saiz ekonomi bayangan di Malaysia secara purata dianggarkan 33.7 peratus daripada KDNK dari tahun 1990 hingga 2019.

Beliau berkata, kegiatan ekonomi bayangan didorong oleh kos yang lebih tinggi untuk mengambil pekerja secara sah termasuk beban cukai dan caruman sosial serta peraturan lain untuk mengawal aktiviti ekonomi.

Dalam masa sama, katanya peningkatan kadar peratusan individu yang bekerja sendiri menyumbang kepada saiz ekonomi bayangan, selain pemilikan perniagaan oleh warga asing.

"Ekonomi bayangan masih menjadi duri dalam daging kerana ia telah menyebabkan ketirisan hasil negara dan memudaratkan usaha Malaysia meningkatkan hasil kutipan cukai selain menjejaskan kestabilan ekosistem percukaian negara.

"Namun, perang membendung aktiviti ekonomi bayangan tidak akan berakhir dalam sehari dua dan akan mengambil masa dengan penguatkuasaan yang ketat serta memerlukan kerjasama daripada semua pihak," katanya kepada BH.

Ranjeet berkata, kutipan cukai bagi ekonomi bayangan menjadi satu cabaran kerana mengenal pasti kegiatan ekonomi yang dihasilkan daripada sektor tersembunyi dan tidak formal adalah agak sukar untuk dikesan.

Katanya, secara umum, banyak daripada aktiviti ini membabitkan modus operandi yang sentiasa berubah-ubah dan lokasi operasi yang bertukar-tukar terutama apabila ia dikesan pihak berkuasa.

Malah, aktiviti pengesanan ini turut membabitkan sumber tenaga kerja yang lebih ramai dan sistem yang lebih komprehensif dengan kepakaran dan kos yang tinggi.

Ekonomi bayangan juga, katanya, berkait rapat dengan isu pematuhan cukai dan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan percukaian.

"Isu ini akan terus menjadi keutamaan yang perlu dititikberatkan dan LHDN akan terus komited untuk merencana strategi serta melipatgandakan usaha bagi menerapkan hasil ekonomi bayangan yang menyebabkan kerugian negara.

"LHDN sentiasa proaktif mengambil inisiatif bagi menangani isu ekonomi bayangan dengan tujuan meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia," katanya.

Ranjeet berkata, LHDN sudah dan akan mengambil pelbagai tindakan bagi mengatasi ketirisan hasil daripada ekonomi bayangan seperti pelaksanaan e-Invois yang akan dibuat secara berperingkat mulai 2023 dengan pembangunan infrastruktur dan projek rintis pertama dijangka seawal Jun 2024.

Beliau berkata, e-Invois dijangka berupaya memerangi isu ekonomi bayangan dalam urus niaga dan transaksi perniagaan yang menyebabkan ketirisan hasil cukai negara.

Katanya, e-Invois mampu mendapatkan data secara masa nyata, sekali gus dapat meningkatkan keupayaan kerajaan dalam menangani isu ekonomi bayangan.

"Ia turut meningkatkan kecekapan aktiviti operasi seperti pematuhan pengemukaan borang nyata dan pelaporan cukai serta analisa risiko dan fokus audit yang lebih tepat secara masa nyata. Ini sekali gus dapat menangani isu ketirisan cukai dan ekonomi bayangan," katanya.


Pautan: Ekonomi bayangan curi hasil cukai negara



Baca juga:

Jangan Sampai Kena Denda 300% Dengan LHDN! Ini Cara Nak Elakkan

5 Fakta Tentang Cukai Pendapatan Yang Korang Mungkin Tak Tahu

10 Ekonomi Bayangan

Saiz Ekonomi Bayangan Malaysia RM300 Bilion

Isytihar Perang Ekonomi Bayangan

 

 

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title