Tuesday 25 April 2023

MAG catat prestasi sukuan terbaik dalam 20 tahun


 

Oleh SHAFIQAH SHUKOR

19 April 2023, 7:32 am

 

PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) telah mencatatkan prestasi kewangan cemerlang pada suku keempat 2022 dengan keuntungan bersih sebanyak RM1.146 bilion.

Prestasi kukuh itu adalah antara prestasi terbaik suku tahunannya sejak dua dekad lalu berikutan permintaan kukuh, hasil yang tinggi merentasi segmen penumpang dan kargo serta pengurusan kos yang berkesan dan optimasi aliran tunainya.

Bagi keseluruhan 2022, MAG mencatatkan keuntungan operasi bersih RM556 juta, sementara kerugian bersih berkurangan 79 peratus kepada RM344 juta berbanding RM1.65 bilion setahun lalu.

Sementara itu, baki tunainya berada pada paras RM4.6 bilion setakat 31 Disember 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Izham Ismail berkata, MAG telah keluar daripada Covid-19 dengan landasan kewangan yang kukuh dan sedang mencatat trajektori kewangan yang meningkat.

“Tinjauan permintaan perjalanan kekal kukuh dalam jangka terdekat, walaupun persekitaran makroekonomi kekal sangat mencabar dengan harga bahan api tinggi yang berterusan, pertukaran mata wang asing, kos operasi yang lebih tinggi disebabkan oleh inflasi, kekangan tenaga kerja, kemelesetan dan risiko geopolitik.

“Dengan pembukaan semula sempadan China pada Januari 2023, Malaysia Airlines Berhad (MAB) menyasarkan untuk mendapatkan semula baki kapasiti untuk keseluruhan rangkaiannya yang kini berada pada tahap 85 peratus, dan memulihkan sepenuhnya perkhidmatan ke China dan Asia Utara menjelang akhir separuh pertama 2023.

“Itu akan memacu pertumbuhan ekonomi antara Malaysia dan China, meningkatkan hubungan perniagaan dan perdagangan keseluruhan antara kedua-dua negara,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Pada 2022, jumlah pendapatan syarikat penerbangan utamanya, MAB meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh permintaan kukuh pada sektor antarabangsa untuk perjalanan penumpang dan pengangkutan kargo.

Melangkah ke hadapan, Izham berkata, walaupun telah mencatatkan prestasi kukuh, terdapat banyak bidang untuk penambahbaikan, terutamanya prestasi tepat masa (OTP) dan pengalaman pelanggan.

Selaras dengan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 dan meneruskan pertumbuhan operasi jet Firefly, Malaysia Airlines akan memindahkan secara berperingkat perkhidmatan intra-Borneo dan perkhidmatan antarabangsa Kota Kinabalu kepada Firefly, hasil daripada pemulihan permintaan positif yang berterusan di semua pasaran.

Sementara itu, Izham berkata, pengendali syarikat penerbangan itu merancang untuk meningkatkan kapasiti sekurang-kurangnya 10 peratus pada 2023 untuk Amal, perkhidmatan sewa khas syarikat penerbangan itu untuk memenuhi keperluan jemaah haji dan umrah.

Jelasnya, ia bagi memenuhi permintaan yang meningkat di mana jumlah trafik umrah hari ini telah melebihi tahap pra-pandemik Covid-19 dan kuota haji telah kembali ke paras biasa.

Tambahnya, Amal melihat untuk mendorong permintaan di Malaysia serta meneroka peluang di luar Malaysia sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhan jangka panjangnya.

Dari segi armadanya, MAG berharap untuk menerima penghantaran empat daripada 25 Boeing 737-8 dari suku ketiga 2023, yang akan menyaksikan ia menyampaikan peningkatan operasi secara langsung dengan kos bahan api yang lebih rendah dan meningkatkan kecekapan rangkaian keseluruhan. – UTUSAN

 

Pautan: mag catat prestasi sukuan terbaik dalam 20 tahun

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title