Friday 28 April 2023

Makan umpan, tinggal mata pancing macam ikan seluang- Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG


Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN

27 April 2023, 1:18 pm

 

PETALING JAYA: Pas mengingatkan ahlinya supaya mencontohi spesies ikan seluang yang memakan umpan lalu meninggalkan mata pancing yang kosong menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ikan seluang adalah spesies ikan kecil yang paling dibenci oleh kaki pancing.

Katanya, ia hanya memakan umpan dan meninggalkan mata pancing sahaja kerana saiznya yang kecil, sebelum sempat dimakan oleh ikan besar yang mahu ditangkap.

“Adapun ikan besar yang rakus memakan umpan mestilah mudah ditangkap, kerana pelahap sehingga termakan mata pancing. Akhirnya, ia dimasak atau dijual untuk dimasak menjadi makanan,” katanya menerusi Minda Presiden Pas hari ini.

Menurut Abdul Hadi, bekas Mursyidul Am parti itu, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  juga sudah mendidik rakyat Kelantan dengan kata-katanya yang terkenal iaitu ‘Bagi gula kacau, bagi kain pakai, bagi duit ambil, namun tetap undi bulan (Pas)’.

“Bersama slogan ini Pas berjaya menawan Kelantan dan mempertahankan sehingga berjaya menawan Terengganu dan Kedah, serta akhirnya Perlis.

“Pas berjaya menegakkan sebuah kerajaan yang bersih daripada penyakit rasuah, walaupun terbatas kewangannya namun tetap teguh memerintah,” katanya.

Tambah beliau, PRN di enam negeri nanti sebagai ujian keinsafan sebagaimana yang dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Sekalipun, anak muda yang dianggap mentah belum sempurna pelajarannya, tetapi meletakkan akalnya dijunjung di kepala menegakkan maruah agama, umat dan negara mengikut acuan Allah dengan meletakkan harga diri manusia berpandukan akal dan kebijaksanaannya tidak boleh dibeli dan ditipu dengan mudah.

“Dalam pada itu, ada kalangan mereka yang berilmu dan berijazah berjela-jela panjangnya dan banyak senarai gelarannya, tetapi meletakkan akal ke dalam perutnya.

“Sifat yang tidak sepatutnya berada pada orang-orang yang beriman,” katanya. – UTUSAN

 

 Pautan: Makan umpan tinggal mata pancing-Abdul Hadi


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title