Wednesday 3 May 2023

Hasil cukai RM70b lesap angkara ekonomi bayangan

 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Oleh Muhammad Yusri Muzamir - Mei 3, 2023 @ 11:07am

yusri.muzamir@bh.com.my


CYBERJAYA: Negara dianggarkan kehilangan kira-kira RM70 bilion setiap tahun dalam bentuk hasil cukai daripada aktiviti perniagaan yang tidak didaftarkan dan kegiatan haram, dikenali sebagai ekonomi bayangan.

Jumlah itu kira-kira 20 peratus daripada anggaran keseluruhan pendapatan ekonomi bayangan bernilai RM350 bilion setahun. Nilai itu adalah 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ekonomi bayangan yang turut dikenali sebagai ekonomi bawah tanah berkait dengan hasil kegiatan jenayah, seperti penyeludupan tembakau, dadah, pelacuran, perjudian, pemalsuan pasport serta pemerdagangan manusia.

Ia juga termasuk sektor formal tidak didaftarkan seperti perniagaan dalam talian, pempengaruh, urus niaga tunai tanpa rekod (cash economy) dan pekerja sambilan yang tidak melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

DISYORKAN UNTUK ANDA

 

Hasil cukai RM70 bilion lesap akibat ekonomi bayangan

Ekonomi bayangan ‘curi’ hasil cukai negara

LHDN berjaya pecah rekod kutipan hasil cukai

LHDN sasar 50,000 buat pengakuan sukarela taksiran cukai dianggar RM1b

Tiada penalti dikenakan jika tampil membuat pengakuan cukai - LHDN

Kastam, LHDN diarah perangi ekonomi gelap, tingkat hasil negara

Sistem e-invois mandatori kepada syarikat besar bermula Jun tahun depan

Kerajaan dijangka peroleh RM300b dengan pelaksanaan e-invois

 

Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) menganggarkan saiz ekonomi bayangan Malaysia secara purata 33.7 peratus daripada KDNK antara 1990 hingga 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata sebanyak 894,027 kes gagal patuh borang nyata membabitkan taksiran dibangkitkan bernilai RM6.09 bilion diselesaikan antara 2020 hingga tahun lalu.

Ia masing-masing sebanyak 335,104 kes dengan nilai taksiran RM2.78 bilion diselesaikan pada 2020, 315,862 kes dengan nilai taksiran RM2.11 bilion (2021) dan 243,061 kes dengan nilai taksiran RM1.21 bilion, tahun lalu.

Mohd Nizom mengakui masalah ekonomi bayangan tidak dapat diselesaikan sepenuhnya, sebaliknya impak aktiviti terbabit hanya mampu diminimumkan menerusi peruntukan perundangan.

"LHDN sudah dan akan mengambil beberapa tindakan bagi mengatasi ketirisan hasil daripada ekonomi bayangan ini, termasuk pemilihan dan penyaluran kes bagi tindakan audit cukai dan audit majikan, terutama membabitkan kes gagal patuh borang nyata, selain mewujudkan parameter lebih berkesan dengan membuat padanan data dengan sumber maklumat dalaman dan luaran.

"Ia bagi memastikan pemilihan dan penyaluran kes berkualiti bagi tindakan audit. Contohnya, data pembayar cukai gagal patuh borang nyata akan dipadankan dengan data atau maklumat komisen, sewa dan pemilikan aset diperoleh daripada sumber luar.

"Tumpuan juga diberikan kepada kes ekonomi digital, meliputi industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bukan ICT, termasuk kes pembayar cukai aktif terbabit dalam perniagaan secara dalam talian serta pempengaruh," katanya kepada BH.

  



Bangunkan pelbagai SOP

Perangkaan Bank Dunia bagi 2017 mendapati nisbah cukai kepada KDNK Malaysia hanya berada pada paras 13.1 peratus, walaupun saiz ekonomi Malaysia mencecah RM1.353 trilion.

Keadaan itu meletakkan Malaysia berada di bawah negara perbandingan lain seperti Vietnam, Chile, Poland dan Korea Selatan, masing-masing mencatatkan 19 peratus, 17.4 peratus, 16.8 peratus dan 15.4 peratus.

Antara faktor penyumbang adalah dasar pemberian insentif cukai yang agresif, penurunan kadar cukai setiap tahun, ketirisan hasil kerana lari dan elak bayar cukai serta kadar pematuhan cukai yang masih rendah.

Mohd Nizom berkata, antara usaha diambil LHDN untuk mengurangkan ketirisan ekonomi bayangan, termasuk menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Shadow Economy bagi mengesan, memantau dan menguat kuasa, selain merangka strategi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta kepercayaan orang awam terhadap sistem percukaian negara.

"Aktiviti pengesanan amat kritikal dalam menentukan pihak gagal melaporkan pendapatan, namun mengaut pendapatan berlipat kali ganda, berbanding individu bergaji sederhana tetapi tetap membayar cukai," katanya.

Untuk itu, LHDN turut membangunkan pelbagai manual prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan teknologi seperti data besar dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan aktiviti ekonomi bayangan.

"Kita turut bertukar maklumat dengan agensi cukai antarabangsa menerusi Automatic Exchange of Information (AEOI) bagi menangani ekonomi bayangan, selain memantau perniagaan berasaskan urus niaga tunai seperti restoran dan trak makanan.

"Kita juga berharap orang ramai menyalurkan maklumat kepada LHDN dengan melaporkan sebarang aktiviti perniagaan mencurigakan," katanya.

"Selain, sokongan kerajaan dalam merangka dasar dan undang-undang pencegahan serta percukaian yang memberi manfaat bagi peningkatan hasil negara.

"LHDN juga menjalankan 'Projek SME COMPLIANCE bersama Influencer' dengan melantik pempengaruh sebagai Duta Hasil untuk meningkatkan pematuhan cukai melalui pendidikan," katanya.

 

Pautan: Hasil cukai RM70b lesap angkara ekonomi bayangan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title