Wednesday 12 April 2023

Kursus praperkahwinan perlu ada ujian

                                   TEMPOH masa kursus praperkahwinan perlu dipanjangkan  supaya teori-teori asas                                   perkahwinan dapat dikupas dengan sempurna.


Oleh Meja Rencana

11 April 2023, 9:00 am

  

SAUDARA PENGARANG,

 

SUKU pertama 2023, kita dikejutkan dengan pelbagai hantaran tular berkaitan isu perceraian dalam kalangan pasangan muda bawah usia 30 tahun, orang biasa waima selebriti.

Saban hari akan ada cerita baharu tentang isu rumah tangga yang dihidangkan, malah naratifnya semakin rumit.

Tidak cukup dengan orang ketiga, pengkhianatan, penderaan emosi dan seksual, terkini ia melibatkan pula syiqaq (pertengkaran) dan nusyuz (derhaka) yang memerlukan kaedah hakam (orang tengah) bagi penyelesaian di dalam mahkamah.

Jika persengketaan tersebut melibatkan pasangan selebriti tanah air, apatah lagi jika konflik peribadi ini dikongsi di media sosial, maka ia heboh dibincangkan oleh masyarakat.

Ada yang cuba mengagak punca, mengutarakan cadangan, malah ada juga yang mencaci cela seolah-olah mereka tahu pucuk pangkalnya.

Masyarakat perlu sedar, tiada kebaikan dapat dinikmati hasil perbincangan hangat mereka di media sosial kerana pasangan muda yang bermasalah tetap berkeras untuk bercerai dengan alasan gagal mencari jalan penyelesaian atau tiada lagi persefahaman.

Kadangkala campur tangan ibu bapa kedua-dua pihak juga tidak mampu untuk merungkai kekusutan. Lebih menyedihkan, golongan muda yang belum berkahwin turut terkena tempiasnya kerana berita sebegini memberi trauma kepada mereka.

Bimbang mengalami nasib sama, ramai yang rela membujang atau berkahwin di lewat usia demi memilih pasangan sempurna.

Justeru, disarankan kursus praperkahwinan yang menjadi syarat wajib dijadikan medium untuk merungkai permasalahan rumah tangga pasangan muda ini.

Modul kursus ini perlu dikaji semula supaya pengisiannya dapat membekalkan pasangan muda dengan pengetahuan yang ampuh dari segi emosi, jasmani, mental dan fizikal sebelum berkahwin.

Untuk penambahbaikan, tempoh masa kursus perlu dipanjangkan supaya teori-teori asas perkahwinan dapat dikupas sempurna, malah sempat berdialog tentang krisis terkini seperti pengabaian nafkah, kecurangan suami isteri, poligami dan perceraian selebriti.

Bukan seperti sekarang, cukup sekadar lima jam mendengar penerangan ala kadar dari empat tajuk, terus mendapat lesen untuk bernikah.

Kursus ini juga perlu dikendalikan oleh penceramah berpengalaman dalam bidang masing-masing. Sebagai contoh, topik komunikasi suami isteri atau pengurusan stres dan konflik harus dikendalikan oleh pakar komunikasi keluarga atau kaunselor rumah tangga.

Mereka yang dipilih perlu bijak memberikan contoh-contoh komunikasi berkesan, konflik komunikasi dan pengendalian stres yang berlaku di dunia nyata dan bukan dalam drama bersiri televisyen.

Selain itu, peserta perlu digalakkan untuk bersoal jawab terutama apabila melibatkan topik prosedur dan pembubaran perkahwinan.

Pemahaman yang baik tentang kedua-dua topik ini amat perlu untuk dijadikan iktibar pasangan muda. Tidak dilupakan topik pengurusan kewangan juga perlu diberikan lebih penekanan supaya pasangan muda bijak mengatur ekonomi keluarga.

Pihak berwajib boleh melaksanakan ujian di akhir tempoh kursus dan mengeluarkan sijil hanya kepada mereka yang lulus. Maka, hanya yang arif dibenarkan berkahwin bagi mengurangkan risiko perceraian. – UTUSAN

 

NOORLINDA ALANG, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

 

Pautan: Kursus praperkahwinan perlu ada ujian

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title