Thursday 13 April 2023

Tiga daripada lima rakyat Malaysia bimbang hilang kerja

86 peratus responden di Malaysia masih mengekalkan
keyakinan yang kukuh terhadap majikan dalam memberi
keselamatan pekerjaan. - Foto NSTP/Faiz Anuar
 

Oleh Alzahrin Alias - April 12, 2023 @ 2:02pm

zahrin@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tiga daripada lima rakyat Malaysia bimbang kehilangan pekerjaan mereka disebabkan ramalan ketidaktentuan ekonomi pada 2023, demikian menurut tinjauan yang dibuat oleh agensi pengambilan pekerja, Randstad.

Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, dalam kajian Workmonitor 2023, pekerja menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kestabilan kewangan dan pekerjaan.

"Di Malaysia, 60 peratus responden berkata mereka bimbang kehilangan pekerjaan. Hampir tiga daripada lima responden berkata bahawa mereka tidak akan menerima pekerjaan jika tidak dikontrak secara sah kepada organisasi sebagai pekerja," katanya dalam satu kenyataan.

Tinjauan Workmonitor 2023 adalah mengenai sentimen dan persepsi terkini tenaga kerja terhadap pasaran pekerjaan tempatan.

Fahad berkata, walaupun 80 peratus responden bimbang ketidaktentuan ekonomi akan memberi kesan kepada kehidupan mereka, 86 peratus responden bagaimanapun masih mengekalkan keyakinan yang kukuh terhadap majikan dalam memberi keselamatan pekerjaan.

Beliau berkata, majikan yang mengambil langkah untuk menyokong dan memahami pekerja adalah lebih berharga serta menarik kepada pencari kerja berbanding sebelum ini.

Katanya, langkah-langkah seperti menyediakan subsidi sementara untuk perbelanjaan kerja harian atau kursus celik kewangan boleh membawa hasil perbezaan yang besar, membolehkan pekerja membuat belanjawan secara bertanggungjawab, mengekalkan tahap keselamatan dan kestabilan dalam kehidupan mereka.

Katanya, 65 peratus responden pula tidak akan menerima tawaran kerja baharu jika ia tidak menawarkan kenaikan gaji yang ketara.

"Daripada menangguhkan keputusan kerjaya mereka sehingga ekonomi stabil, orang ramai secara aktif mencari pekerjaan untuk mengekalkan keupayaan dalam membayar perkhidmatan penting dan meneruskan gaya hidup yang diinginkan.

"38 peratus responden mengatakan bahawa mereka telah berhenti kerja kerana gaji yang rendah dan 34 peratus berkata bahawa mereka sedang memikirkan untuk meletak jawatan supaya mereka dapat mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dalam meningkatkan kos sara hidup," katanya.

Fahad berkata, tinjauan sama turut mendedahkan bahawa 80 peratus responden mengatakan bahawa kedudukan kewangan menjadi penghalang bagi bersara awal selain 39 peratus pula perlu bekerja melebihi umur persaraan minimum di Malaysia.

Beliau berkata, satu daripada tiga responden (32 peratus) terpaksa menangguhkan persaraan disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pautan: bharian.com.my/tiga daripada lima rakyat malaysia bimbang hilang kerja

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title