Tuesday 11 April 2023

Kapasiti efektif 2 empangan Pulau Pinang menyusut kepada hampir separuh

Empangan Teluk Bahang - BERNAMA

April 11, 2023 @ 3:20pm

GEORGETOWN: Kapasiti efektif dua empangan utama di Pulau Pinang iaitu Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam, di sini merekodkan penurunan kepada kira-kira 50 peratus susulan taburan hujan rendah di kawasan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan, berkata setakat semalam kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah pada kadar 51.8 peratus, manakala Empangan Teluk Bahang pula 51.3 peratus.

"Jumlah hujan direkodkan di kawasan tadahan air empangan bagi Januari, Februari dan Mac tahun ini adalah pada kadar 129 milimeter (mm) bagi Empangan Air Itam dan 251mm bagi Empangan Teluk Bahang.

"Sehubungan itu, pengguna air di negeri ini dinasihatkan menggunakan air dengan berhemat sehingga tibanya hujan lebat untuk mengisi semula empangan," katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau berkata, purata penggunaan air harian bagi Pulau Pinang dalam tempoh dua bulan iaitu Januari sebanyak 875 juta liter sehari (JLH) dan Februari pula 944 JLH.

Pathmanathan berkata, statistik itu menunjukkan fakta bahawa taburan hujan rendah di kawasan tadahan air (KTA) empangan dan permintaan air yang tinggi menjadi dua faktor utama yang menyebabkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang menurun.

Katanya, sebagai maklum balas kepada senario amaran bekalan air ini, PBAPP sedang melaksanakan langkah kejuruteraan bekalan air antaranya mengoptimumkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda dan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

"PBAPP juga mengepam lebih banyak air terawat dari LRA Sungai Dua ke Pulau Pinang melalui tiga set saluran paip berkembar dasar laut untuk menyokong bekalan air di pulau.

"Selain itu, PBAPP meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang seboleh mungkin, tanpa menjejaskan perkhidmatan bekalan air," katanya.

Beliau menambah, pihaknya juga meningkatkan kawalan cuaca kering untuk mempertahankan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang secara strategik selama mungkin.

"Kami juga menjalankan penjadualan semula kerja paip berjadual untuk meminimumkan pembaziran air dan memberi respons kepada aduan awam mengenai paip pecah atau bocor secepat mungkin," katanya.

PBAPP juga menyediakan pelan kontingensi untuk menangani permintaan air di kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (HPA) jika musim kemarau semasa berterusan. – BERNAMA


Pautan: bharian.com.my/kapasiti efektif 2 empangan pulau pinang menyusut

 

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title