Monday 28 August 2017

SEMUT MATI KERANA MAKAN MADU





“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Quran, surah Al-Hadiid: 20)


Setitis/setitik madu jatuh di atas tanah. 

Datanglah seekor semut kecil, perlahan-lahan digigitnya madu tersebut.

Manis.

Lalu ia beranjak hendak pergi. Namun rasa manis madu telah terlanjur memikat hatinya. Ia pun kembali untuk menjilat dan mengecapnya sedikit lagi, sedikit sahaja. Setelah itu, barulah ia akan pergi.

Namun, ternyata ia merasa tidak puasa. Hanya menjilat dan mengecap madu dari pinggiran dasarnya.

Ia berfikir, kenapa tidak sekalian sahaja. Masuk dan menceburkan diri agar dapat menikmati manisnya.

Lagi dan lagi.

Maka masuklah sang semut. Tepat ditengah dasar madu.

Semut yang perutnya di isi madu yang sedap. 

Awalnya semut merasa begitu nikmat berenang di atas madu sambil minum.  Beberapa saat setelah kenyang, semut baru sedar bahawa ia sukar keluar dari kubangan madu tersebut. Semut berusaha keluar tapi tubuhnya yang berat tidak dapat digerakan.

Ternyata, badannya melekat dengan madu. Kakinya lekat dengan tanah dan tentu sahaja tidak boleh bergerak.

Malang nasibnya.

Makin ia berusaha bergerak. Ia makin tenggelam di kubangan madu tersebut sehingga akhirnya semut yang serakah itu mati. Ia terus  seperti itu hingga akhir hayatnya dalam genangan setitis madu.

Demikianlah analogi sederhana tentang dunia dan penciptaannya sebagaimana diperumpamakan dalam pepatah Arab:


“Tidaklah kenikmatan dunia bererti apa-apa, melainkan bagai setitis besar madu. Maka siapa yang hanya menjilat dan mengecap sedikit, ia akan selamat. Namun siapa yang menceburkan diri ke dalamnya, ia akan binasa.”














Friday 25 August 2017

"HARI INI ADALAH MILIK KITA"



Al-Quran menyatakan:


" .... Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan jadilah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur." (Al-Quran, terjemahan surah al-A'raf ayat 144)


Marilah kita bersyukur hari ini, ketika berada saat ini tidak memikirkan untuk sampai ke petang, atau menunggu-nunggu waktu sehingga sampai ke malam, atau mengingat-ingat untuk sampai ke waktu pagi pada keesokan harinya pula.

Begitulah silih bergantinya pagi petang dan siang malam.

Hari ini adalah peluang untuk hidup. Jangan memikirkan hari kelmarin yang telah berlalu dengan berbagai kisahnya; kebaikan dan keburukannya. Tidak juga dengan hari esok yang belum pasti datang.

Hari ini matahari memancarkan sinarnya gemerlapan mengenai kita, maknanya siangnya menyapa kita. Siang yang hening itu membuatkan kita mampu melihat alam sekitar, mampu dicapai oleh mata dan perasaan. Itulah hari kita, maka manfaatkanlah hari ini sebaik-baiknya. Ibarat pengantin baru, memanfaatkan hari-hari halimunannya. Atau penembak tepat dimedan perang memanfaatkan peluangnya. Anggaplah detik-detik kehidupan kita hanya hari ini saja, seakan-akannya kita dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga.

Falsafah ini akan menyelamatkan kehidupan kita sehingga tidak tersepit di antara dua kehidupan; masa lalu dengan berbagai kesedihan, kegembiraan dan ketidaktentuan yang terjadi ketika itu, dan masa depan yang penuh ketidakpastian dan acapkali menakutkan.

Marilah kita pusat dan fokuskan seluruh perhatian dan kreativiti kita untuk satu hari ini. Pada hari inilah, bulatkan tekad persembahkan ikrar terbaik kita, kualiti salat dan puasa kita, yang paling khusyuk dan tawaduk, membaca dan memahami al-Quran secara mendalam, mentaddaburnya secara rendah diri, menzahirkan keikhlasan berbuat umrah dan haji, menghayati jihad secara total dan bersifat kontemporari, merenung kehidupan dunia dengan penuh hati dan kemanisannya, keseimbangan dalam segala perkara, mempersembahkan akhlak yang terindah dan kerelaan dengan semua yang Allah s.w.t. berikan, perhatian terhadap keadaan sekitar, mengambil ingatan terhadap kesihatan jiwa dan raga, serta menambat hati dan memanfaat semua potensi kepada orang lain.

Semoga hari ini adalah milik kita, adalah suatu ungkapan yang paling indah, membisik-bisik dan memiliki kekuatan yang hakiki, mutlak untuk kejayaan diri seperti yang kita inginkan, iaitu SYURGA di sini dan di sana.

Buatlah yang terbaik untuk hari ini.


Selamat menjalani ibadat hakiki.


Thursday 24 August 2017

CECAIR PALING MAHAL DI DUNIA



JULY 27, 2017 ZULSEGAMAT

a.  Kala jengking
b.  Ular tedung
c.   Lysergic acid diethylamide (LSD) mengkhayalkan
d.  Darah belangkas
e.  Pewangi bernama Chanel No. 5
f.   Insulin
g.  Merkuri
h.  Gamma Hydroxybutyric Acid -menghilangkan sakit ketika pembedahan
i.   Darah


Apabila menyebut perkataan “mahal”, ramai orang akan ingat objek-objek pepejal seperti emas atau berlian. Namun, terdapat benda lain yang jauh lebih mahal daripada perak atau emas dan bahan tersebut bukan pepejal pun, sebaliknya adalah cecair.

Cecair yang paling mahal di dunia adalah racun kala jengking. Kosnya adalah sebanyak $10,302,700 seliter. Protein yang terdapat di dalam bisa kala jengking digunakan untuk rawatan penyakit usus, arthritis rheumatoid dan sklerosis.

Selepas bisa kala jengking, cecair kedua termahal ialah bisa ular tedung. Bisa tedung adalah racun yang paling merbahaya di dunia dan ia boleh membunuh seekor gajah dewasa.

Walaupun bahaya, orang tetap juga mengekstrak racun ini kerana ia mengandungi sejenis protein yang unik di panggil Ohanin. Ohanin di gunakan sebagai ubat penahan sakit / painkiller malah ianya 20 kali lebih kuat daripada morfin. Penggunaan Ohanin pula tak akan memberi kesan sampingan kepada penggunanya. Kos seliter bersamaan $40,400.

Bahan seterusnya ialah Lysergic acid diethylamide (LSD) iaitu sejenis dadah yang boleh menyebabkan manusia khayal. Setiap dos mengandungi 40-500 mikrogram atau 1/10 daripada saiz sebutir pasir. Walaupun di gunakan dalam jumlah yang sangat kecil, ia dah cukup untuk bawak manusia berkhayal ke dimensi lain seperti dalam cerita Alice in wonderland. Seliter kosnya bersamaan $32,500.

Cecair seterusnya ialah darah belangkas. Darah belangkas tak mengandungi hemoglobin, tetapi mengandungi hemocyanin. Di sebabkan hemocyanin inilah darah belangkas berwarna biru dan bukan berwarna merah seperti manusia. Darah belangkas digunakan untuk mengesan bakteria endotoxin dalam perubatan. Kos seliter adalah sebanyak $ 15,850.

Cecair seterusnya ialah sejenis pewangi bernama Chanel No. 5. Chanel No. 5 adalah jenama pewangi paling mahal di dunia. Ia pertama kali di hasilkan pada tahun 1922, hasil kerjasama antara ahli kimia bernama Ernest Beaux dan Coco Chanel. Kos seliter adalah $6,900.

Cecair seterusnya ialah Insulin. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ manusia bernama pancreas.  Insulin sangat penting dan  pelbagai penyakit boleh berlaku jika kandungan insulin dalam badan sangat rendah. Antaranya seperti diabetes, insulinoma dan lain-lain. Jika badan mengandungi insulin yang rendah, insulin akan diberikan melalui suntikan biosynthetic insulin. Yang pastinya kos suntikan tersebut tak murah. Kosnya bersamaan $3,900 – $26,400 seliter.

Seterusnya ialah merkuri. Kita boleh tengok merkuri dengan mudah. Tahu di mana? Jawapannya pada termometer! Disebabkan ia sangat mudah didapati nampaknya macam tak mahal kan?

Tapi sebenarnya kos untuk mendapatkan merkuri agak mahal. Ini kerana proses untuk mengeluarkan merkuri dari kerak Bumi melibatkan proses yang sangat sukar dan mahal. Kos = $900 seliter.

Bahan seterusnya ialah Gamma Hydroxybutyric Acid (GHB) ataupun di panggil juga 4-hydroxybutanoic acid. Ia paling biasa digunakan sebagai anestetik untuk menghilangkan rasa sakit semasa pembedahan.

GHB juga boleh didapati dalam kuantiti yang kecil dalam bir, wain, daging lembu dan juga buah limau nipis hasil daripada penapaian/fermentation. GHB juga di gunakan dalam dadah. Disebabkan warnanya yang jernih, ia kerap digunakan oleh perogol untuk menghayalkan mangsanya. Bolehlah google, ‘Date Rape Drug’ untuk info lanjut atau tunggu kami ulas dalam siri status yang lain. Kosnya adalah $600 seliter.

Bahan seterusnya ialah darah. Tapi bukan ke kita derma darah secara percuma, kenapa dia mahal pula? Untuk pengetahuan, darah yang kita derma itu di panggil “whole blood”. Whole blood ini perlu diproses untuk memisahkannya kepada dua atau lebih komponen.

Biasanya komponen yang dipisahkan ialah sel-sel darah merah dan plasma. Proses inilah yang menyebabkan darah tadi jadi mahal dan kosnya seliter bersamaan $400.

Allahu’alam…















Wednesday 23 August 2017

BAKTI SEORANG ANAK LELAKI






PEMUDA INI SELALU KURUNG AYAHNYA SEJAM DALAM BILIK HOSPITAL, STAF DEDAH PERLAKUAN SAYU ANAKNYA MELALUI KAMERA TERSEMBUNYI !!!
August 1, 2017 Mr Ez Isu Semasa, Tauladan Comments Off on PEMUDA INI SELALU KURUNG AYAHNYA SEJAM DALAM BILIK HOSPITAL, STAF DEDAH PERLAKUAN SAYU ANAKNYA MELALUI KAMERA TERSEMBUNYI !!!



Sebuah video berdurasi tiga minit yang telah dimuat naik oleh seorang pengguna laman Facebook, Muhammad Assaewad berjaya menarik orang ramai dengan kapsyen ‘Sungguh mengesankan dan membuat terharu’.

Video yang dirakam oleh salah sebuah negeri Arab itu menceritakan mengenai seorang pemuda yang bersikap aneh setiap kali menziarahi ayahnya di hospital. Pemuda berkenaan dilihat oleh staf hospital mengurung ayahnya di dalam bilik air selama sejam setiap kali menziarahinya.

Staf hospital yang merasa hairan lalu meletakkan kamera tersembunyi untuk merakam perbuatan pemuda berkenaan.

Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati pemuda berkenaan memandikan ayahnya dengan sangat lembut. Pemuda berkenaan mengosok badan ayahnya menggunakan kain dan sesekali dilihat menangis memeluk ayahnya.

Layanan pemuda berkenaan kepada ayahnya mengundang suasana pilu dan sayu kepada krew-krew pengambaran. Jurukamera tersebut tidak mampu meneruskan rakaman video, bahkan dilihat sedang mengesat air mata kerana sayu melihat situasi berkenaan.

  
Berikut kami kongsikan video berkenaan:


Firman Allah S.W.T dalam surah al-Luqman, ayat 14-15 yang bermaksud:


وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”


Semoga Allah mengampunkan dosa kita dan kedua-dua ibu bapa. Amin.




Tuesday 22 August 2017

NYAMUK DAN PENGAJARAN DARIPADANYA



Firman Allah s.w.t.:




“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik.” (Quran, surah Al-Baqarah: 26)


Nyamuk apabila diletakkan di bawah mikroskop elektrik lalu dibesarkan sehingga 400 ribu kali ternyata di kepalanya ada seratus mata.

Berat nyamuk adalah satu per seribu gram. Di kepalanya ada seratus mata, di mulutnya ada 48 buah gigi, di dadanya ada tiga buah jantung, ada pusat jantung dan satu jantung di setiap sayapnya. Di dalam tiap jantung itu ada dua atrium (rongga) dua bilik jantung dan dua katup jantung.

Nyamuk memiliki organ yang tidak dimiliki oleh burung-burung.

Nyamuk memiliki organ pengesan haba.

Akan tetapi nyamuk melihat segala sesuatu melalui suhu panasnya saja.

Ruang di musim dingin suhunya beberapa celsius?

Anak kecil suhu tubuhnya 37 darjah celsius.

Nyamuk memiliki organ untuk menganalisis darah, di samping itu nyamauk juga memiliki alat pencair darah kerana darah manusia bersifat kasar.

Darah itu pula sukar disedut oleh nyamuk untuk dialirkan melalui saluran penghisap darah (belalainya) kecuali mendahuli dengan proses pencairan darah.

Nyamuk juga memiliki alat pembius sehingga mereka yang digigitnya tidak merasai kesakitan akibat biusan itu. Setelah selesai menghisap darah melalui gigitan belalainya, beberapa detik selepas itu, kesan bius itu menghilang. Lalu seseorang akan merasai gigitan nyamuk ke atas dirinya.

Apabila terasa sahaja oleh seseorang kepedihan gigitan nyamuk itu, dia pun memukulnya dengan sepenuh tenagannya, sedangkan pada ketika itu nyamuk tersebut telah melarikan diri kekenyangan melayang-layang di sekitar bilik itu mentertawakannya.

Tidak semua darah yang sesuai untuk nyamuk.

Dia mengambil sampel terlebih dahulu, baru dia menggigit.

Terkadang, dua orang adik-beradik tidur sebilik, namun nyamuk memilih darah salah seorang daripadanya setelah melalui imbasan. Ia tidak menggigit kedua-duanya.

Kita akan dapati bahawa seseorang yang digigiti nyamuk akan dipenuhi badannya kesan gigitan tersebut.

Adapun belalainya ada enam buah pisau. Empat pisau untuk melakukan kerja-kerja melukakan yang berbentuk segi empat dan dua pisau lagi membentuk lubang sesuai dengan tabung penghisap darah.

Di kaki nyamuk ada pencakar (iaitu kuku-kukunya) apabila ia bertenggek di tempat yang keras sebagai pengukuh dan ia juga memiliki alat penarik (seperti alat bekam) apabila bertenggek di tempat yang licin.

Inilah ciptaan Allah s.w.t.

Sebagaimana dirakamlah oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 26 di atas dan surah Luqman ayat 11:




“Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu sembah itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.” (Quran, surah Luqman:11)


Sumber:
Ahmed Barakat
Exponent0@hotmail.com






Monday 21 August 2017

ORANG ZALIM, KATA-KATANYA TIDAK BENAR



“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya Ia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

Dia lah yang menjadikan kamu orang-orang yang berkuasa di muka bumi silih berganti; oleh itu sesiapa yang kufur ingkar maka balasan kufurnya itu akan menimpa dirinya sendiri; dan orang-orang yang kafir, kufurnya tidak menambahkan mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan; dan juga orang-orang yang kafir itu, kufurnya tidak menambahkan mereka melainkan kerugian jua.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu-sekutu, yang kamu seru dan sembah selain Allah? Tunjukkanlah kepadaku apa yang mereka telah ciptakan dari bahagian bumi ini?. Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Atau pernahkah Kami memberi mereka sebuah Kitab (mengakui mereka menjadi kongsi Kami), maka (dengan itu menjadilah) perkongsian mereka berdasarkan keterangan yang terdapat dari Kitab itu? "(Tidak ada sesuatu alasan pun) bahkan orang-orang yang zalim itu, terpedaya dengan kata-kata yang disebutkan oleh setengahnya kepada yang lain, kata-kata yang hanya menjanjikan perkara yang tidak benar.

Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya; dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Ia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sebenar-benar sumpahnya: demi sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, sudah tentu mereka akan menjadi orang-orang yang lebih betul jalan agamanya dari sebarang umat yang lain. Setelah datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, (maka kedatangannya itu) hanya menyebabkan mereka bertambah liar dari kebenaran,

Sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat (terhadap Rasul itu), sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya. (Dengan keadaan yang demikian, maka) tidak ada yang mereka tunggu selain daripada berlakunya kebinasaan menimpa mereka (sebagaimana yang telah menimpa) orang-orang kafir yang telah lalu. Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi " Sunnatullah " (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan " Sunnatullah " itu.

(Dan sebagai buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka, sedang orang-orang itu lebih kekuatannya dari mereka? Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.”

(Quran, surah Faatir: 38-45)




Monday 14 August 2017

QADA DAN QADAR MEMATERI KEYAKINAN



'Buat apa kita menghabiskan air mata dan membiarkan hati gelisah kerana intimidasi? Serahkan saja semua itu 'total' kepada Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Mulia kerana jika hati sudah menjadi tenang maka jalan keluar pasti akan terbuka.'

Maka, benarlah kata-kata para pejuang mujahiddin bahawa mereka tidak akan dikalahkan oleh musuh-musuh mereka dengan izin Allah s.w.t.. Mereka juga akan membebaskan manusia daripada tipu daya orang-orang licik menipu apabila mereka itu melakukan muslihat pelbagai dimensi, instrumen dan watak dilibatkan bagi mengaburi pandangan.

Orang-orang dungu mudah digeleceknya tetapi orang-orang beriman memerhati gelagat kenakalan mereka, sebagaimana diiakan oleh golongan dungu tentang terperosoknya MH370 di laut dalam di Lautan Hindi kerana Amerika melambai-lambai.

Sebagai membenarkan komplot kedajalan itu dikutipnya barangan lusuh ditujukkan kepada golongan dungu juga.

Dalam majalah 'Ahlan wa sahlan' edisi 3 Rabiulakhir 1415H, dimuatkan satu artikel dengan tajuk: '20 Cara Menghindari Rasa Gelisah' oleh Dr. Hassan Syamsi Basya.

Kesimpulan daripada inti artikel tersebut adalah sebagai berikut:


"Ajal telah ditentukan oleh Allah s.w.t. dan segala sesuatu terjadi menurut qada dan qadarnya. Oleh itu, seseorang hamba tidak boleh menyesal dan bersedih dengan apa yang terjadi.

Rezeki semua makhluk telah dijamin oleh Allah s.w.t., tidak ada seorang pun yang mampu mengendalikan dan mengaturnya, dan tidak seorang pun mampu menghambat datangnya rezeki.

Masa lalu ketika kecemasan dan kesedihannya telah pergi dan telah selesai dimamah zaman, sehingga tidak akan terulang kembali, meskipun semua orang berusaha untuk mengembalikannya.

Masa depan masih ada di alam ghaib, tidak boleh dihadirkan sekarang, dan tidak pernah meminta izin kepada kita atas ketidakhadirannya. Oleh itu, kita tidak perlu mengharapkan kedatangannya. Biarlah ia datang dengan sendirinya.

Berbuat baik kepada sesama insan akan menimbulkan perasaan gembira dan dapat melegakan hati, membawa barakah, mendapat pahala, dan menimbulkan ketenangan.

Termasuk akhlak seorang mukmin adalah tidak mempedulikan kritikan yang tidak berdasarkan kebenaran dan menyakitkan, kerana seorang mukmin memang tidak mungkin lepas dari cacian dan makian.

Bahkan, Allah s.w.t., Tuhan Semesta Alam, yang Maha Suci namaNya sekalipun, juga mendapat cacian dan makian.”


Berbahagilah seorang mukmin yang memahami sifat-sifat musuhnya supaya ia tidak terpalit dan disambar oleh api neraka.






STRATEGI BERMANFAAT DALAM ILMU MENGKHAYALKAN



Apabila Setiausaha Negara Amerika mengadakan siri jelajah sempena menghadiri beberapa mesyuarat serantau termasuk Forum ASEAN dan mesyuarat Menteri-Menteri Amerika-ASEAN bermula pada 5 Ogos 2017 di Filipina dan seterusnya menjelajah Thailand, Malaysia dan semalam di Vietnam.

Ada beberapa perkara yang tersurat dalam pertimbangan perbincangan yang mendepani isu-isu semasa dan serantau, di antaranya;


* Semenanjung Korea.

* Keselamatan/pertikaian Maritim.

* Menangani keganasan.

* Ujian peluru berpandu Korea Utara.

* Dan yang penting ketika ini terdapat kehadiran tentera Amerika di lapangan dalam usaha memerangi Daesh yang dinamakan Pasukan Petugas Operasi Khas Bersama Trident (serampang tiga mata) di Marawi, Filipina.


Di Perpustakaan of Congress di Washington, terdapat banyak buku-buku rujukan dan hasil penyelidikan yang hampir semua disiplin ilmu terdapat di sana. Pelbagai jenis manuskrip dan buku ilmiah yang membahas berbagai isu termasuk berkaitan; generasi, bangsa, umat, budaya, peradaban dan gelagat manusia.

Sayangnya, bangsa yang memiliki perpustakaan besar seperti itu adalah umat yang kuffur kepada Tuhannya. Mereka hanya mengetahui alam yang dapat dilihat oleh pancaindera saja; sedangkan disebalik itu, tidak mereka dengarkan, tidak mereka lihat, tidak mereka rasai, tidak mereka terfikirkan dan tidak mereka perhatikan tentang keindahan penciptaan alam ini.

Ibarat suatu perumpamaan; sebuah taman yang sangat hijau, sayangnya kambing yang ada di dalamnya sakit, sebuah dusun raja buah dikenali durian yang amat sedap namun isinya mengkal, buah kurma yang sangat lazat namun kekikiran begitu mengekang dan air yang sangt segar namun terasa pahit di mulut.

Orang Yahudi mempunyai ilmu, tetapi ilmu yang ada tidak menyebabkan mereka mendapat petunjuk. Mereka memiliki bukti, tetapi bukti yang ada pada mereka tidak dapat mengubah penyakit hati mereka.

Orang Nasrani memiliki penyelidikan, tetapi penyelidikannya yang ada tidak mengarahkan mereka mendapat hidayah. Mereka pula mengawal capaian kajian, tetapi hasilnya yang ada pada mereka tidak dapat membimbing persepsi buruk dalam akal mereka mengenai 'Addeen'.
Mereka memiliki pendapat, tetapi pendapat yang ada pada mereka tidak mampu mengalahkan kebatilan dalam tindakan-tindakan mereka.

Mereka memiliki riwayat, tetapi riwayat yang ada pada mereka tidak benar.

Mereka memiliki bacaan, tetapi bacaan yang ada pada mereka tidak boleh menuntun kepada kebenaran.

Mereka memiliki petunjuk, namun petunjuk yang ada pada mereka lebih kepada menunjukkan kepada penyimpangan.

Mereka juga memiliki pengarahan, namun pengarahan itu membimbing kepada pengingkaran.

Mereka memiliki strategi, namun strategi yang ada pada mereka menjurus kepada pencatur mengharu biru rakan serantau.

Mereka memiliki modus operandi, namun modus operandi yang ada pada mereka untuk menggempur musuh dilakukan melalui lambaian, bisikan, ugutan, tekanan dan komplot bersekongkol.

Bagaimana mungkin pemilik-pemilik ilmu itu mendapat ketenangan, keseronokan dan hidayah petunjuk, sementara mereka adalah yang pertama menentang keharmonian dan keadilan dengan ucapan-ucapan, rancangan-rancangan dan tidakan-tindakan yang mereka menafikan kehidupan orang lain?

Benarlah firman Allah s.w.t. yang dirakamkan dalam Al-Quran menerusi surah Fushshilat ayat 17 dan surah An-Nisaa' ayat 155.
  



“Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.” (Quran, surah Fussilat: 17)




“Maka (Kami laknatkan mereka) dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, dan mereka kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar, dan mereka juga mengatakan: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup), bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antaranya).” (Quran surah An-Nisaa': 155)







Friday 4 August 2017

KENAPA ARAK/KHAMR DUNIA DIHARAMKAN?



Mengapa arak/khamr dunia diharamkan sedangkan khamr surga dibolehkan? Ketahuilah, khamr surgawi berbeza dengan khamr dunia.

Kita ketahui bersama bahawa khamr dan semua yang memabukkan telah diharamkan oleh Allah s.w.t. di dunia.

Allah Taala berfirman:


يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ
وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا


Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. (Quran, surah  al-Baqarah: 219)


Dalam surah yang lain Allah s.w.t.  juga berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ 
وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.(Qurah, surah al-Maidah: 90).


Namun di surga khamr itu menjadi halal, bahkan ada sungai-sungai yang mengalirkan khamr yang lezat yang bebas di minum oleh penghuninya. 

Allah Ta’ala berfirman:


مَثَلُ الْجَنَّةِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ فِيهَا أَنْهَارٌ مِنْ مَاءٍ غَيْرِ آسِنٍ وَأَنْهَارٌ مِنْ لَبَنٍ لَمْ يَتَغَيَّرْ طَعْمُهُ وَأَنْهَارٌ مِنْ خَمْرٍ لَذَّةٍ لِلشَّارِبِينَ


Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya,...”  (Quran, surah Muhammad: 15).


Imam Ibnu Katsir dalam Tafsirnya menjelaskan beberapa sifat khamr surgawi:


1.    Tidak mengandung zat yang memabukkan. Sebagaimana firman Allah:


لا فِيهَا غَوْلٌ وَلا هُمْ عَنْهَا يُنزفُونَ


“Tidak ada dalam khamar itu alkohol dan mereka tiada mabuk kerananya” (Quran, surah ash-Shaffat: 47)


2.    Tidak membuat mabuk dan pusing. Sebagaimana firman Allah:


لَا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلا يُنزفُونَ


“Mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk.” (QS. Al Waqi’ah: 19)


3.    Warnanya putih,


4.    Rasanya lazat, sebagaimana firman Allah:


بَيْضَاءَ لَذَّةٍ لِلشَّارِبِينَ


“Warnanya putih dan terasa lazat bagi yang meminumnya.” (Quran, surah ash-Shaffat: 46)


5.    Boleh didapatkan tanpa perlu memeras/memerah, sebagaimana diriwayatkan:


لَمْ تَعْصُرْهَا الرِّجَالُ بِأَقْدَامِهَا


“Para lelaki tidak perlu memerasnya dengan kaki-kaki mereka.” (Hadith riwayat Ibnu Katsir dalam Tafsirnya, beliau mengatakan: ‘Hadits ini gharib, seakan-akan dia mursal’).


Syaikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah pernah ditanya:

“Mengapa khamr di dunia di haramkan sedangkan di surga dihalalkan?”


Beliau menjawab:



“Khamr akhirat itu baik tidak memabukkan dan tidak memberi bahaya atau gangguan. Adapun khamr dunia, di dalamnya ada bahaya dan memabukkan serta memberi gangguan. Khamr akhirat tidak mengandung zat yang memabukkan dan tidak membuat mabuk peminumnya, serta tidak membuat gangguan pada akalnya atau bahaya pada badannya. Adapun khamr dunia, dapat mengganggu akal dan badan sekaligus. Dan semua bahaya yang ada pada khamr dunia itu tidak ada pada khamr akhirat” 





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title