24 Ogos 2018 3:00 AM
WASHINGTON – Presiden Amerika
Syarikat (AS), Donald Trump bertegas kelmarin bahawa beliau tidak melakukan apa-apa
kesalahan selepas bekas peguamnya mendedahkan bahawa Trump mengarahkannya
membuat pembayaran haram secara rahsia menjelang pilihan raya Presiden pada
2016.
Bekas peguam Trump, Michael Cohen
memberitahu hakim persekutuan pada Selasa lalu bahawa dia membuat pembayaran
untuk menutup mulut dua wanita yang mendakwa mereka menjalin hubungan sulit
dengan Trump atas permintaan Presiden AS itu.
Kenyataan Cohen itu dibuat pada
hari penuh drama dan memeningkan kepala Trump apabila bekas pengurus kempen
politiknya, Paul Manafort didapati bersalah atas dakwaan penipuan bank dan
cukai.
Perbicaraan tersebut susulan
siasatan diketuai pendakwa raya khas, Robert Mueller berhubung campur tangan
Rusia dalam pilihan raya 2016.
Bagaimanapun, Trump yakin bahawa
beliau akan dapat mengatasi skandal politik terbaharu itu.
Selepas menuduh Cohen sengaja
mereka cerita bagi mengurangkan hukuman terhadap dirinya, Trump kemudian
mengeluarkan kenyataan di Twitter bahawa tindakan bekas peguamnya itu bukan
‘satu jenayah’, malah menurutnya semasa menghadiri program bual bicara, Fox and
Friends, pembayaran tersebut juga tidak menyalahi peraturan kempen pilihan
raya.
Dalam wawancara sama, Trump
berkata, pembayaran sulit itu dibuat menggunakan wangnya sendiri yang boleh
diakses oleh Cohen.
Bayaran itu dibuat kepada bintang
filem lucah, Stormy Daniels dan model Playboy, Karen McDougal. – AFP
No comments:
Post a Comment