Kisah arak telah wujud pada
zaman Nabi S.A.W lagi. Pada Zaman Arab Jahiliyyah, arak ialah hidangan biasa
bagi orang Arab. Erti kata lain, asalnya arak tidak haram sehinggalah
diceritakan Al-Quran mengenai pengharaman arak dalam Quran, surah Al-Baqarah
ayat 219, maksudnya:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.
Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi
manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”. Dan mereka
bertanya pula kepadamu: apakah yang yang mereka akan belanjakan (dermakan)?
Katakanlah: “(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)”.
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan
hukumNya) supaya kamu berfikir.”
Selepas ayat ini diturunkan,
masyarakat Arab Jahiliyyah masih lagi kerap menjadikan arak sebagai hidangan.
Kemudian, Allah SWT turunkan ayat yang kedua berkaitan arak untuk menjauhkan
arak.
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang
(mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hinggalah kamu sedar dan
mengetahui apa yang kamu katakan. Dan janganlah kamu pula (hampiri masjid)
sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) kecuali kamu hendak melintas
sahaja-hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam
musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau
bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau
berwuduk), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah-debu, yang suci, iaitu
sapukanlah ke muka dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi
Maha Pengampun.” (Quran, surah
An-Nisaa’: 43)
Ayat yang pertama di atas
menunjukkan kenyataan bahawa arak itu terdapat di dalamnya keburukan atau dosa
besar yang dilakukan walaupun ada manfaat, tetapi manfaatnya hanyalah sedikit
berbanding keburukan yang ada di dalamnya. Ayat yang kedua pula, Allah SWT
melarang bersolat sekiranya masih dalam keadaan mabuk. Ayat yang kedua ini
telah memansuhkan hukum arak yang pada asalnya ada manfaat pada ayat yang
pertama tadi.
Kemudian, orang arab sudah
tidak meminum arak lagi hanya kerana hendak bersolat. Apabila telah selesai
bersolat, mereka kembali meminumnya seperti biasa. Akhirnya, Allah SWT telah
menurunkan ayat mengenai pengharaman arak.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi,
dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah,
adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu
menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Quran, Surah Al-Maidah: 90)
Maka, ayat yang kemudian
diturunkan ini telah memansuhkan hukum arak di ayat yang kedua dengan Allah SWT
melarang terus manusia meminum arak kerana ia adalah perbuatan keji dan amalan
syaitan.
Dan dalam hukuman jenayah
syariah, orang yang meminum arak hukumannya adalah sebat tidak kurang dari 40
sebatan dan tidak lebih dari 80 sebatan. Ini berdasarkan hadith yang
diriwayatkan oleh Ali Bin Abi Talib:
“Rasulullah s.a.w telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali
sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebat juga, dan
Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulullah
s.a.w. dan inilah yang paling aku suka”
Rasullullah S.A.W melaknat 10
golongan yang terlibat di dalam arak iaitu:-
1) Orang yang memerahnya
(arak) iaitu pembuatnya
2) Orang yang meminta
diperahkan (arak) iaitu pengedarnya.
3) Orang yang meminum arak
4) Orang yang membawa arak
5) Orang yang minta
dihantarkan arak
6) Orang yang menuangkan arak
7) Orang yang menjual arak
8) Orang yang membeli arak
9) Orang yang makan hasil
jualan arak
10) Orang yang minta dibelikan
arak
No comments:
Post a Comment