ANKARA - TURKI . Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan
menyelar Amerika Syarikat (AS) dan turut menegaskan Ankara tidak akan
menggunakan dolar dalam urus niaga bersama Rusia dan negara lain.
"Jangan percayakan AS kerana mereka seperti 'serigala
liar'. Rundingan sedang berlangsung antara Turki dan Rusia tentang penggunaan
mata wang negara dalam hubungan perdagangan bilateral," katanya ketika
berucap dalam forum perniagaan di Bishkek, semalam.
Langkah itu dibuat selepas Washington mengenakan 'hukuman' ke
atas ekonomi Ankara termasuk sekatan terhadap beberapa menteri dan menaikkan
tarif import aluminium dan keluli dua kali ganda hingga menyebabkan kejatuhan
nilai mata wang lira.
"Penggunaan mata wang dolar hanya memusnahkan kami. Kami
tidak akan berputus asa dan akan mencapai kemenangan," ujarnya lagi.
Konflik tercetus antara kedua-dua negara selepas seorang
paderi warga AS berdepan tuduhan keganasan di Turki.
Paderi Andrew Brunson didakwa terlibat dengan Parti Pekerja
Kurdistan (PKK) dan Gerakan Hizmet, pimpinan ulama berpangkalan di AS,
Fethullah Gulen yang didakwa mendalangi cubaan menggulingkan Erdogan pada
2016.
Difahamkan, Brunson yang menafikan kesemua tuduhan itu telah
menjalani hukuman penjara hampir dua tahun.
Jika disabit bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara 35
tahun dan tindakan Turki mengenakan tahanan rumah ke atas paderi itu
memburukkan lagi sengketa antara kedua-dua negara. - Press TV
No comments:
Post a Comment