.. Diriwayatkan oleh Mujahid: “Nabi Daud a.s. menangis selama 40 hari dalam
sujud tanpa mengangkat kepala sehingga tumbuh lumut-lumut dari titisan air
matanya, beliau juga menutup mukanya disebabkan kesalahan yang telah
dilakukannya.”
Lalu kedengaran suara yang berkata: “Wahai Daud, apakah kamu lapar, kalau kamu
lapar kamu akan diberi makan. Kalau kamu haus kamu akan diberi minum, kalau kamu
tiada pakaian kamu akan diberi pakaian.”
Apabila Nabi Daud mendengar suara
itu maka beliau pun memekik dengan pekikan yang sungguh kuat sehingga kayu yang
basah menjadi kering dan terus terbakar disebabkan takutnya kayu itu.
Kemudian Allah s.w.t. menerima taubat Nabi
Daud a.s., lalu Nabi Daud a.s. berdoa: “Wahai
Tuhanku! Jadikanlah kesalahanku ditulis dalam tapak tanganku.” Maka tertulislah
kesalahan Nabi Daud a.s. ditapak tangannya. Nabi Daud a.s. tidak membuka tapak tangannya
walaupun ketika hendak makan, minum atau untuk keperluan lain. Setiap kali Nabi
Daud a.s. melihat kesalahan yang tertulis di tangannya beliau akan menangis.”
Mujahid meneruskan ceritanya lagi: “Dibawakan kepada Nabi Daud a.s. gelas yang
mengandungi 2/3 air untuk diminum, apabila Nabi Daud a.s. meletakkan gelas pada
bibirnya maka terpandanglah beliau akan kesalahan yang tercatit di tangan
beliau. Lalu menangislah Nabi Daud a.s. sehingga gelas tadi dipenuhi dengan air
matanya.”
Diriwayatkan bahawa Nabi Daud tidak
mengangkat kepalanya memandang ke langit sehingga beliau wafat, ini adalah
kerana malunya beliau kepada, Allah s.w.t.
Dalam munajatnya Nabi Daud a.s. pada Allah s.w.t., beliau berkata: “Wahai Tuhanku!
Apabila aku mengingatkan kesalahanku, maka sempitlah bumi ini bagiku. Apabila
aku ingat kepada rahmatMu maka kembalilah nyawaku. Mahasuci Engkau wahai
Tuhanku, Engkau datangkan doktor-doktor hamba Engkau untuk mengubati
kesalahanku. Kesemua mereka menunjukkan aku kepada Engkau. Maka celakalah bagi
orang-orang yang berputus asa dari rahmat Engkau.”
Pada suatu hari Nabi Daud a.s. telah mengingati
dosanya, beliau pun melompat dengan meletakkan tangannya ke atas kepala lalu
berlari sehingga sampai di bukit. Kemudian berkumpullah binatang buas
mengadapnya. Berkata Nabi Daud a.s. pada binatang-binatang itu: “Baliklah kamu semua, aku tidak memerlukan
kamu semua. Sesungguhnya yang aku kehendaki ialah, setiap orang hendaklah
menangis di atas kesalahan mereka itu, dan setiap yang melakukan kesalahan pada
Allah hendaklah menangis.”
Berkata Nabi Daud a.s. “Tinggalkan aku, biar aku menangis sebelum hari tangisan. Sebelum
datang hari di mana tulang-belulang aku dihancurkan dan dibakarnya perutku, dan
sebelum disuruh kepadaku oleh para malaikat yang bersikap kasar dan keras.
Mereka itu tidak sekali-kali menderhakai Allah dan mereka itu melaksanakan apa
yang diperintahkan oleh Allah ke atas mereka.”
Abdul Aziz bin Umar berkata: “Ketika Nabi Daud a.s. telah membuat
kesalahan maka kuranglah merdu suaranya, lalu beliau berdoa: “Wahai Tuhanku!
Benarkanlah suaraku dalam kebersihan suara orang-orang shiddiq.”
Dikisahkan bahawa apabila Nabi
Daud a.s. telah lama benar menangis, tangisannya itu tidak mendatangkan faedah, maka
sempitlah baju besinya dan sangat susah benarlah hatinya. Kemudian beliau
berdoa: “Wahai Tuhanku! Apakah Engkau
tidak mengasihani akan tangisanku?”
Lalu Allah SWT berfirman: “Wahai Daud! Kamu lupa akan dosa kamu dan
kamu ingatkan tangisanmu itu.”
Berkata Nabi Daud a.s. “Ya Tuhanku dan Penghuluku! Bagaimana hendak
aku lupakan dosaku apabila aku membaca kitab Zabur, nescaya ia mencegah air
yang mengalir dari mengalir. Menenangkan hembusan angin, dan burung menaungi
atas kepalaku. Aku menjinakkan binatang-binatang liar di tempat sembahyangku.
Wahai Tuhanku dan Penghuluku! Apakah keliaran ini yang ada di antaraku dengan
Engkau?”
Kemudian Allah s.w.t. berfirman: “Wahai Daud! Itu adalah kejinakkan taat dan
ini keliaran maksiat Wahai Daud! Adam itu makhluk dari ciptaanKu, Aku ciptakan
dia dengan tangan (kekuasaan) Ku, Aku hembuskan padanya rohKu dan Aku suruh
para malaikatKu sujud kepadanya. Dengan mahkota kemuliaanKu Adam mengadu
kepadaKu kerana keseorangan, kemudian Aku kahwinkan dia dengan Hawa hamba
wanitaKu dan aku tempatkan dia dalam syurgaKu. Setelah itu dia telah berbuat
maksiat kepadaKu, lalu Aku usir dia dari tetanggaKu dengan tidak berpakaian
(telanjang) dan hina. Wahai Daud! Dengarlah dari Aku yang benar Aku firmankan,
engkau minta kepada Kami, Kami berikan kepada engkau. Engkau berbuat maksiat
kepada Kami, kami perlambat-lambatkan kepada engkau. Dan kalau engkau kembali
kepada Kami nescaya Kami terima engkau.”
Diriwayatkan bahawa apabila Nabi Daud a.s. hendak menangis maka dia tidak akan makan dan minum selama seminggu, dan akan
keluar beliau ke tanah lapang. Beliau menyuruh anaknya Sulaiman supaya menyeru
kepada semua yang ada dalam semak, bukit-bukau, gunung-ganang dan di mana
sahaja supaya datang untuk mendengar ratapan Nabi Daud a.s.
Setelah Nabi Sulaiman a.s. menyampaikan
berita tersebut maka datanglah binatang-binatang buas, binatang-binatang yang
menjalar, burung-burung, anak-anak gadis dan orang ramai dari seluruh pelusuk.
Kemudian Nabi Daud a.s. naik atas mimbar dan beliau dikelilingi oleh Bani Israil
(kaum Yahudi).
Lalu Nabi Daud a.s. memuji Allah s.w.t. Kemudian gemparlah mereka semua dengan tangisan dan pekikan. Setelah itu Nabi
Daud a.s. menceritakan tentang syurga dan neraka. Apabila terdengar sahaja
tentang syurga dan neraka maka matilah setengah binatang-binatang yang
menjalar, binatang liar, binatang buas dan manusia. Kemudian Nabi Daud a.s. menceritakan
tentang huru-hara hari kiamat dan beliau sendiri menangis, maka di masa itu
matilah segolongan makhluk Allah.
Apabila Nabi Sulaiman a.s. melihat terlampau
banyaknya yang mati maka beliaupun berkata: “Wahai
ayahku! Ayah telah membinasakan para pendengar setiap kali syarahan. Kini telah
banyak yang mati terdiri dari Bani Israil dan binatang-binatang.”
Kemudian Nabi Daud a.s. pun berdoa, dalam
waktu beliau sedang berdoa itu tiba-tiba seorang hamba dari Bani Israil
berkata: “Wahai Daud! Kamu terlalu cepat
sangat meminta balasan dari Tuhanmu.”
Apabila Nabi Daud a.s. mendengar kata-kata
hamba itu maka beliaupun jatuh tersungkur dan pengsan. Nabi Sulaiman a.s. yang
menyaksikan peristiwa itu berkata: “Ketahuilah
sesiapa yang berteman atau berkeluarga dengan Daud a.s. hendaklah mereka itu
membawa Nabi Daud ke tempat tidurnya, sesungguhnya orang-orang yang bersama
Daud a.s. itu telah mati disebabkan Nabi Daud a.s. menceritakan kepada mereka tentang
syurga dan neraka.
Setelah Nabi Daud a.s. sedar dari pengsannya,
beliau bangun berdiri dan meletakkan tangannya di atas kepala. Kemudian beliau
masuk ke rumah tempat ia beribadah dan dikuncinya dari dalam dan beliau pun
berdoa: “Ya Tuhanku! Adakah Engkau marah
kepada-ku?” Begitulah Nabi Daud a.s. sentiasa bermunajat kepada Allah s.w.t..
Nabi Sulaiman a.s. datang menghampiri
rumah tempat ayahnya beribadat, beliau meminta izin masuk. Setelah Nabi Daud
a.s. mengizinkan anaknya masuk, Nabi Sulaiman a.s. membawa bersamanya roti untuk
ayahnya.
Berkata Nabi Sulaiman a.s.: “Wahai ayahku, makanlah roti ini, mudah-mudahan akan menguatkan
kesihatan ayah.”
Pada suatu hari Nabi Daud a.s. memberikan ceramahnya pada orang ramai, beliau banyak memberi nasihat supaya
takutkan kepada Allah. Pada masa beliau memulakan ceramah terdapat 40,000 orang
yang menghadiri majlis itu, oleh kerana para pendengar itu berasa cukup takut
kepada Allah s.w.t. maka 30,000 orang dari seramai 40,000 itu telah mati
disebabkan takutnya mereka kepada Allah s.w.t.. Akhirnya yang pulang bersama Nabi
Daud a.s. cuma 10,000 orang sahaja.
Dikisahkan bahawa Nabi Daud a.s. ada dua orang
hamba perempuan, apabila Nabi Daud a.s. merasa takut kepada Allah s.w.t. maka kedua
hamba itu akan naik duduk di atas dada dan di kaki Nabi Daud a.s., ini adalah kerana
khuatir anggota Nabi Daud a.s. akan cerai-berai oleh kerana takutnya ia kepada Allah s.w.t..
Dipetik Dari Buku: 2002 Duka - Himpunan Kisah-kisah Menyayat
Hati - Siri 2
Pengarang: A. K. Alang Jaafar
No comments:
Post a Comment