Wednesday 20 June 2018

Jawatan Ketua Hakim Negara dipolitikkan?




Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad

SEAWAL Mei 2017, ketika Barisan Nasional (BN) masih berkuasa, saya mempersoalkan perlembagaan 'perlanjutan' tempoh perkhidmatan Tun Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara. Saya juga mencadangkan supaya beliau meletak jawatan, yang saya berpendapat, jika dilakukannya pada masa itu, beliau boleh berbuat demikian dengan cara yang terhormat dan bermaruah dan beliau akan diingati kerana tindakannya itu.

BN kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kemudian, kita mendengar berita yang tidak menyenangkan iaitu Raus menemui Dr Mahathir.

Seperti orang lain, saya menganggap bahawa Raus tentu dipanggil, diminta atau disuruh pergi menemui Dr Mahathir kerana, saya tidak fikir seorang Ketua Hakim akan melakukannya atas inisiatifnya sendiri.

Dalam artikel saya bertarikh 12 Jun 2017, saya menggunakan perkataan 'minta'. Namun, saya berpendapat bahawa Perdana Menteri tidak sepatutnya 'meminta' Raus menemuinya dan Raus pula sepatutnya menolak.

Selepas itu, terdapat berita yang lebih mengejutkan: Raus pergi menemui Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, di pejabat Daim. Sekali lagi, saya menggunakan perkataan 'meminta', sambil berhujah bahawa tidak elok bagi Daim 'meminta' Raus pergi menemuinya dan bagi Raus berbuat demikian.

Pada 13 Jun 2018, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengeluarkan satu kenyataan. Kenyataan itu, antara lain, berkata:

1. Pada 15 Mei 2018, Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah bertemu dengan Perdana Menteri dan menyampaikan hasrat Yang Amat Arif - Yang Amat Arif untuk meletakkan jawatan.

2. Bagaimanapun, Yang Amat Arif - Yang Amat Arif telah memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada tarikh yang munasabah untuk membolehkan segala urusan kehakiman diselesaikan.

3. Selaras dengan pertimbangan sedemikian, Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah mengutus surat peletakan jawatan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun 2018 dan peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 31 Julai 2018.

4. Peletakan jawatan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 Jun 2018 dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit, Bahagian Urusan Diraja, Istana Negara bertarikh 11 Jun 2018.

Membaca perenggan pertama, nampak seolah-olah Ketua Hakim Negara, atas kehendaknya sendiri, tanpa dipanggil, diminta atau disuruh untuk pergi bertemu dengan Perdana Menteri, pergi menemuinya dan menyampaikan hasratnya untuk meletak jawatan.

Sukar terima alasan

Saya dapati sukar untuk menerimanya atas sebab berikut:

1. Mengapa beliau patut berbuat demikian? Ketua Hakim Negara bukan lantikan politik yang patut meletakkan jawatan jika kerajaan pada masa beliau dilantik kalah pada pilihan raya umum.

2. Mengapa beliau melakukannya hanya lima hari selepas keputusan pilihan raya diketahui?

3 Mengapa Raus menunggu sehingga 13 Jun untuk mendedahkannya, selepas beliau ditekan oleh ahli politik untuk meletak jawatan? Bukankah lebih baik baginya untuk menyatakannya sebelum beliau ditekan untuk meletak jawatan? Sekiranya beliau berbuat demikian, beliau akan dilihat sebagai melakukannya dengan terhormat. Sekarang, tiada siapa akan percaya bahawa beliau tidak meletakkan jawatan di bawah tekanan.

4. Mengapa Raus menunggu sehingga 7 Jun (tiga minggu kemudian) untuk menulis kepada Yang di-Pertuan Agong yang meluluskannya pada hari berikutnya?

5. Ketika ahli politik PH, daripada PKR dan DAP, menuntut Ketua Hakim Negara meletak jawatan, mengapa Dr Mahathir tidak mengatakan bahawa Raus telah menemuinya dan menyampaikan hasratnya untuk meletak jawatan? Itu akan menyebabkan kempen menekan Raus untuk meletak jawatan dan bagi Daim memanggilnya dan mendesaknya meletak jawatan itu tidak perlu. Selain itu, ia akan mengelak Kerajaan PH daripada dilihat sebagai menekan Raus untuk meletakkan jawatan.

6. Malah, selewat 13 Jun 2018, apabila Perdana Menteri disoal oleh wartawan di Jepun, bukan sahaja beliau mempertahankan tindakan Daim memanggil Raus, tetapi juga dilaporkan berkata:

"Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, majlis itu telah menyatakan kepada hakim-hakim itu - Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin - bahawa lebih baik jika mereka meletak jawatan.

"Jika tidak, kerajaan mungkin mengambil tindakan melucutkan jawatan mereka kerana kita percaya bahawa perlanjutan jawatan mereka sebagai hakim kanan itu tidak betul," katanya, sambil menambah bahawa pendapat itu juga dikongsi oleh Majlis Peguam Malaysia dan peguam terkemuka".

Ini menunjukkan seolah-olah Raus tidak menyampaikan hasratnya untuk meletak jawatan kepada Perdana Menteri.

7. Jika benar Raus menyampaikan hasratnya untuk meletak jawatan seawal 15 Mei 2018, Daim sepatutnya tahu dan tidak ada keperluan baginya untuk memanggil Raus dan mendesaknya meletak jawatannya.

Penyokong gembira

Sekarang Raus sudah meletak jawatan, Kerajaan PH dan penyokongnya tentu gembira. Mereka mungkin berasakan bahawa ini satu lagi kemenangan mereka: mereka berkuasa, tiada apa yang boleh menghalang mereka daripada membuang sesiapa yang mereka mahu.

Peristiwa ini memihak kepada mereka kerana, pertama, oleh sebab Raus sudah meletak jawatan, mereka tidak perlu menunggu Mahkamah Persekutuan menyampaikan penghakimannya dalam saman oleh Persatuan Peguam-peguam Sarawak (AAS). Bukan itu sahaja, mereka juga terselamat daripada risiko bahawa penghakiman itu mungkin tidak memihak kepada mereka.

Kedua, Kerajaan PH tidak perlu mengambil tindakan untuk membuang Raus, mengulangi episod Tun Salleh Abas. Bagaimanapun, saya menghujahkan bahawa walaupun tanpa tribunal, ia sudah menjadi ulangan episod itu dan ia merosakkan imej yang PH cuba mempamerkan dirinya ketika kempen PRU-14.

Dalam hal ini, saya perlu menyebut seorang yang menentang pengerusi partinya sendiri, Perdana Menteri daripada parti gabungannya sendiri, Majlis Peguam dan lain-lain untuk menyuarakan pandangannya bahawa "pembelaan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad terhadap Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang memanggil dua orang hakim tertinggi itu untuk mendesak mereka meletak jawatan, adalah tidak betul dan berlawanan dengan kedaulatan undang-undang.

"Apabila ia (CEP) memanggil hakim-hakim itu dan menuntut peletakan jawatan, ia akan dilihat sebagai kerajaan menuntut peletakan jawatan mereka yang secara menyeluruh mengabaikan prinsip pemisahan kuasa," katanya.

"Ini ciri asas mana-mana demokrasi iaitu, eksekutif tidak mengganggu hal ehwal badan kehakiman."

Peguam itu berkata, mengkritik pelantikan Ketua Hakim Negara, Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin tidak salah, tetapi adalah satu perkara lain untuk memanggil mereka dan menuntut pengunduran diri mereka."

Ini jelas salah. Perlembagaan Persekutuan menetapkan cara membuang hakim. Ini mesti dipatuhi sepanjang masa selaras dengan kedaulatan undang-undang.

Eksekutif tidak wajar melampaui batas

CEP jelas telah melampaui sempadannya dalam kes ini yang tidak boleh dipatuhi."

Pada 10 Jun, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh berkata, Daim tidak sepatutnya campur tangan dalam perkara yang terletak di luar bidang kuasa mereka.

Beliau merujuk kepada laporan bahawa Daim memanggil dua hakim untuk meminta pengunduran diri mereka.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan apa yang dikatakannya. Sebenarnya, itulah yang saya katakan dalam rencana saya sebelumnya. Saya mengucapkan tahniah kepadanya kerana keberanian dan kejujurannya. Sesungguhnya, jika bapanya masih hidup, saya percaya beliau akan berkata demikian.

Satu perkara lagi yang dikatakan, termasuk oleh Perdana Menteri ialah jika Raus tidak meletakkan jawatan, kerajaan akan mengambil tindakan untuk membuangnya.

Perlu diingati bahawa Ketua Hakim Negara boleh dibuang oleh tribunal yang dibentuk di bawah Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan jika dibuktikan bahawa beliau telah melakukan "pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) atau alasan ketidakupayaan, daripada kelemahan badan atau minda atau apa-apa sebab lain dengan sewajarnya menunaikan fungsi jawatannya, ..."

Sekiranya perlanjutan perkhidmatan Raus tidak sah, adakah ia termasuk di bawah peruntukan yang tersebut di atas? Adakah beliau patut dipersalahkan? Oleh itu, perbincangan mengenai membawanya ke tribunal tidak berasas.

Terdapat pula kempen untuk melantik Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Besar (Sabah dan Sarawak) untuk menggantikan Raus. Saya telah menyatakan pandangan mengenai ahli politik dan peguam yang menyokong parti pemerintah untuk berbuat demikian kerana ia menunjukkan bahawa hakim itu pilihan mereka.

Jika apa yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini iaitu melanjutkan tempoh Raus dilihat sebagai kerajaan BN meletakkan orangnya sebagai Ketua Hakim Negara, apakah bezanya dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan PH sekarang?

Jawatan dipolitikkan

Saya tidak akan berhujah sama ada menyokong atau menentang pelantikan Richard. Saya lebih suka menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan proses yang berikutnya.

Bagaimanapun, kepada mereka yang memuji melangit mengenai kesesuaian Richard, saya hanya ingin menarik perhatian mereka kepada satu laporan Malay Mail Online 12 Jun 2018. Tajuknya berbunyi: "Shafie mencabar Musa untuk mencabar kesahan jawatan KM Sabah ....".

Dilaporkan:

"Shafie berkata bahawa beliau telah bercakap dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan beliau (Shafie) diyakinkan bahawa pelantikannya (sebagai Ketua Menteri Sabah) adalah sah mengikut Perlembagaan."

Mengapa Richard harus memberi nasihat undang-undang kepada Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengetahui bahawa perkara itu mungkin berakhir di Mahkamah Persekutuan, di mana beliau (Richard) ialah seorang hakim? Adakah beliau cuba mengambil hati parti sekutu Kerajaan PH dari Sabah?

Dengan peletakan jawatan Raus, masalah penyingkirannya selesai tanpa mahkamah perlu memutuskan isu itu. Kerajaan PH dan penyokongnya mendapat apa yang mereka kehendaki dan, mungkin, lebih apabila mereka berjaya meletakkan orang mereka di tempatnya.

Tetapi, ia mengingatkan kita kepada pengulangan semula episod Salleh dan apa yang dilakukan oleh Kerajaan BN diulang semula oleh Kerajaan PH. Lebih dari itu, apa yang mendukacitakan ialah, nampaknya, jawatan Ketua Hakim Negara pun telah dipolitikkan.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title