Oleh
Adha Ghazali
adha@bh.com.my
ISTILAH
sibawayh mungkin agak asing bagi orang kebanyakan, namun tidak kepada mereka
yang ahli atau pernah mempelajari bahasa Arab khususnya berkaitan ilmu ‘nahu’
(tatabahasa). Berasal daripada bahasa Parsi, sibawayh terbentuk hasil gabungan
dua perkataan, iaitu ‘sib’ (buah epal) dan ‘wayh’ (wangi). Lantas ia membawa
maksud epal yang wangi.
Bagi
pengamal ilmu nahu, sibawayh merujuk jolokan kehormat atau laqab yang diberi
kepada tokoh besar dalam bidang itu, Abu Bisyr Amr ibn Utsman ibn Qanbar
Al-Bishri.
Berasal
dari Parsi, jolokan sibawayh ibarat ikon pengajian nahu dan sangat berpengaruh.
Karya beliau, Al-Kitab dengan ketebalan hampir 1,000 halaman bukan sahaja
naskhah tatabahasa Arab pertama dibukukan, malah menjadi sumber rujukan
pengkaji ilmu nahu sehingga ke hari ini.
Persoalannya,
kenapa dibangkitkan pasal sibawayh yang saya sendiri diperkenalkan dengan
istilah itu sepanjang menuntut di Maahad Muhammadi Lilbanin (MML) di Kota
Bharu, Kelantan antara 1991 hingga 1996.
Secara
peribadi, dua keunikan menarik minat saya hasil pembacaan kisah tokoh ini.
Sayang rasanya jika tidak dikongsi. Pertama, sibawayh mampu menguasai bahasa
Arab dengan sangat baik, malah muncul ulama tersohor dalam bidang tatabahasa
Arab. Ironinya, beliau adalah kelahiran Parsi yang tidak menggunakan bahasa
Arab sebagai pertuturan ibunda.
Kedua,
sibawayh diriwayatkan beberapa kali melakukan kesalahan atau lahn dalam
mengucapkan hadis Nabi SAW. Keadaan itu mengundang tekad besar dalam diri
beliau untuk mendalami bahasa Arab dan tatabahasanya demi mengatasi kekurangan
diri. Lihatlah di mana kedudukan nama sibawayh hari ini.
Apa
yang pasti, sibawayh sangat menghargai ilmu. Walaupun umurnya tidak panjang,
beliau benar-benar memanfaatkan hayatnya untuk mengejar ilmu sejak bergelar
remaja sehingga menghembuskan nafas terakhirnya di Shiraz, Iran pada usia 36
tahun.
Bercakap
soal mengejar ilmu, ia memberi konotasi kesungguhan, komitmen dan kemahuan
tinggi dalam konteks mendapatkan ilmu. Ia sinonim dengan masyarakat terdahulu,
buktinya ada pepatah lama mengatakan ‘tuntutlah ilmu walau ke negeri China’. Ia
menggambarkan tiada had sempadan jarak dalam urusan mengejar ilmu.
Cari
guru tuntut ilmu
Filem
Melayu klasik sendiri banyak mengisahkan masyarakat terdahulu yang berkelana
jauh berpurnama lamanya ke negeri luar, semata-mata mencari guru untuk menuntut
ilmu.
Baik
ilmu persilatan, agama atau apa saja, murid yang biasanya berusaha mencari
guru, bukan sebaliknya. Mungkin itu punca ilmu diterima orang terdahulu lebih
berkat dan mendatangkan manfaat besar.
Lihat
sibawayh - mengejar ilmu lahir daripada kemahuan atau tekad sendiri, bukannya
dipaksa sesiapa. Nikmat ilmu yang dikejar pasti dekat di hati dan lebih membawa
manfaat besar.
Jika
dibanding hari ini, budaya mengejar ilmu dilihat semakin menipis. Ramai pergi
sekolah atau universiti bukan kerana mahu mengejar ilmu, tetapi sekadar memenuhi
tuntutan belajar, untuk lulus peperiksaan atau sebagai jaminan mendapat kerja
selepas tamat pengajian.
Bukan
mempertikai niat tersirat, namun sedikit pelik. Sepatutnya semakin maju bidang
pendidikan itu dan lebih banyak kemudahan disediakan untuk belajar, kesungguhan
untuk mengejar ilmu akan semakin bertambah. Namun menyedihkan sebaliknya pula
berlaku.
Mungkin
lumrah manusia apabila sesuatu itu mudah diperoleh lebih-lebih lagi dalam dunia
yang semuanya di hujung jari, jadi ia menjadi kurang dihargai.
Apabila
kurang dihargai, nilai ilmu dalam diri juga menjadi tidak seberapa dan
kemampuan memanfaatkan ilmu dipelajari menjadi terbatas.
Tidakkah
kita mahu bijak pandai kita diletakkan setaraf Abu Bisyr Amr ibn Utsman ibn
Qanbar Al-Bishri yang menerima laqab tinggi sibawayh. Banyak bidang ilmu baharu
muncul khususnya berasaskan sains, teknologi dan matematik (STEM). Tidakkah
kita mahu nama orang kita terpahat sebagai sarjana dalam bidang berkenaan.
Kita
sebenarnya tidak kurang individu berbakat. Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar
selaku pakar nahu bahasa Melayu serta Pendeta yang menjadi rujukan ahli bahasa
serta golongan akademik. Status sama turut dipegang Tan Sri Zainal Abidin Ahmad
atau Za’ba.
Saban
tahun juga ramai bakat pintar dibangunkan melalui Perbadanan Ekonomi Digital
Malaysia (MDEC), namun berapa ramaikah boleh diiktiraf dengan laqab tinggi
seperti sibawayh.
Saya
percaya budaya mengejar ilmu perlu kembali diperkukuh dalam generasi hari ini,
agar sasaran melahirkan Sarjana atau sibawayh versi kita berhasil.
Namun
syaratnya kesungguhan dan keikhlasan mengejar ilmu perlu ada, bukannya lagi
menadah ibarat ‘menunggu bulan jatuh ke riba’.
No comments:
Post a Comment