Dr
Mohd Mizan Aslam Pengerusi Bahagian Perlis Kelab Perdana Global Peace
Foundation
Diterbitkan
pada Mac 30, 2019 08:03 MYT
PENULARAN
budaya Islamofobia adalah ancaman terbesar yang dihadapi oleh negara-negara
Barat pada masa ini.
Islamofobia
telah menjadikan keadaan di Barat tidak lagi selamat bagi umat Islam dan
sentiasa berada dalam keadaan tidak tenteram. Wujud ketakutan kepada umat Islam
di Barat untuk berjalan malam, berjalan seorang diri atau bekerja di
sektor-sektor tertentu dan banyak lagi.
Islamofobia
bermaksud ‘takut, benci dan prejudis keatas agama Islam dan penganutnya’.
Islamofobia ini selalunya dikaitkan dengan geopolitik dan perbuatan yang
dilakukan iaitu teroris. Rakyat dari
negara Arab dan Asia termasuklah Malaysia seringkali dicurigai dan sesuatu
perbuatan walaupun seperti melakukan solat di tempat terbuka juga dianggap
melakukan perbuatan yang mengancam Barat.
Islamophobia
sering dikaitkan dengan pandangan seperti berikut, Islam adalah sebuah agama
yang mempromosikan keganasan dan agresif, Islam adalah agama yang barbarik,
seksis dan tidak bertamadun, Islam membenci Barat, Islam memecah belah
masyarakat dan negara, Islam bersifat menjajah dan mengambil peluang pekerjaan
dan menghabiskan duit pembayar cukai, Islam menyebabkan pertembungan tamadun
dan Islam juga adalah ideologi politik.
Kajian
yang dilakukan keatas 9 buah agama terbesar iaitu Kristian, Yahudi, Islam,
Buddha, Evangelikal, Katholik, Mormon, Hindu dan Atheis di Amerika pada 2017,
menunjukkan bahawa Islam berada pada kadar melebihi 60 peratus dari segi
persepsi negatif oleh Barat.
Council
on American-Islamic Relation (CAIR) telah melakukan analisis untuk melihat
bagaimana trend Islamofobia di Amerika pada hari ini. Data yang diperolehi
menunjukkan bahawa berlakunya peningkatan yang signifikan dalam bentuk serangan
keatas umat Islam iaitu daripada 1,342 kes pada 2014 kepada 3,023 kes pada
2018.
Berlakunya
peningkatan lebih sekali ganda yang dicatatkan hasil daripada kejadian yang
dilaporkan secara rasmi. CAIR juga telah membahagikan serangan berkaitan
Islamofobia ini kepada lima kategori iaitu Kebencian, Siatan FBI, Diskriminasi
Pekerjaan, Gangguan dan Penafian Ibadat.
Melalui
data CAIR, pelbagai bentuk gangguan secara lisan, fizikal dan perasan telah
dilakukan terhadap umat Islam dengan komposisi terbesar iaitu 35%.
Sikap
bias oleh Federal Bureau Investigation (FBI) yang juga merangkumi siasatan,
pengintipan, sekatan di lapangan terbang dan lain-lain lagi berada pada kadar
23%.
Kebencian
pula sebanyak 20%, sektor pekerjaan termasuklah diskriminasi dan penafian
hak-hak sebagai pekerja sebanyak 15% dan terakhir adalah penafian ruang untuk
beribadat yang mencatatkan 7% kes.
Keadaan
ini terkesan kepada mana-mana Muslim yang berada di Barat termasuklah rakyat
Malaysia yang bekerja atau menetap di negara tersebut.
Dari
segi fizikal seperti rupa-paras, ras, jambang dan warna kulit serta cara
berpakaian iaitu bertudung dan berniqab sahaja mereka boleh menerima impak
kepada Islamofobia ini.
Satu
kajian yang dilakukan oleh Al-Jazeera terhadap isu pengharaman kemasukan
imigran Muslim ke Eropah pada tahun 2016 boleh dirujuk. Ketika kempen secara
besar-besaran dilakukan oleh Donald Trump untuk jawatan Presiden Amerika,
beliau telah memainkan isu perkauman dan ancaman imigran Muslim di Amerika.
Hasilnya,
10 negara Eropah telah dilakukan soal selidik yang melibatkan kira-kira 10,000
responden dari negara Itali, Sepanyol, Perancis, Hungary, Poland, England,
Greece, Austria, German dan Belgium. Hasil kajian tersebut menunjukkan semua negara
tidak bersetuju untuk imigran Muslim diberikan ruang masuk ke negara-negara
mereka dengan Poland mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 71% dan Sepanyol
terendah dengan 42%.
Antara
punca utama mengapa Islamofobia berkembang di Barat adalah berkaitan dengan
Media. Barat yang menguasai hampir 70% industri media dunia menjadi kunci dalam
penyebaran pelbagai jenis maklumat.
Rata-rata
media Barat akan meletakkan tajuk yang sensasi seperti Terroris Muslim, ISIS,
Pengganas Muslim, Anti-Kristian, Barbarik dan lain-lain sebagai tajuk utama
bagi mana-mana insiden yang dilakukan oleh ektremism Islam.
Ada
kalanya, tajuk seperti ini mendahului fakta, akhirnya apabila perkara sebenar
tersebar maka nada ceritanya akan berubah tanpa penyesalan atau sebarang bentuk
permohonan maaf. Tetapi, jika sesuatu perbuatan itu dilakukan oleh orang Barat,
tajuknya akan lebih sederhana dan simpatik seperti seorang Evangelikal, Budak
Gereja, Lelaki Naif, Melalui Zaman Remaja Sukar dan lain-lain tajuk yang
bersikap melindungi si pelaku.
Perbincangan
dan liputan bagi insiden yang dilakukan oleh Muslim lebih menjurus kepada
mangsa dan digambarkan kesedihan, kemurungan serta kehilangan yang besar kepada
keluarga mangsa, akan tetapi jika si pelaku adalah warga Barat, tidak akan ada
liputan tentang mangsa, malah apa yang difokuskan adalah latar belakang baik si
pelaku dan betapa rosaknya sistem hingga beliau terpedaya dan tertipu serta
ditonjolkan juga berpunca daripada Muslim itu sendiri yang bersikap terroris.
Faktor
kedua mengapa Islamofobia subur di Barat adalah berkaitan dengan kenyataan
pemimpin dan dasar negara yang menyokong ideologi anti-imigran dan Ketuanan
Kulit Putih. Pemerintahan Trump sebagai Presiden Amerika sejak Januari 2017,
memperlihatkan peningkatan kadar kebencian kepada Muslim di Barat.
Manifesto
xenophobia atau anti imigran dan dasar Trump untuk menyekat kemasukan imigran
dan perjalanan Muslim dari negara-negara seperti Iran, Libya, Syria, Somalia
dan Yemen dengan jelas diterima oleh sebahagian besar penduduk Amerika. Ini
jelas memperlihatkan bagaimana ideologi ‘righ-wing extremismts’ diterima dan
dipraktikkan di Barat. Malah kenyataan-kenyataan kebencian yang disebut beliau
menular ke nagara-negara Eropah lainnya.
Seterusnya,
tidak dapat dinafikan bahawa kelemahan undang-undang Barat berkaitan pemilikan
senjata-api dan lain-lain senjata tajam juga turut menyumbang kepada isu ini.
Kerana mudahnya memiliki senjata dan bersifat ‘sah’ serta boleh diberikan lesen
walaupun sehingga kepada pemilikan senjata semi-automatik, maka perasaan berani
untuk menggangu umat Islam wujud dengan jelas.
Malah
ditambah lagi dengan tiadanya hukuman mati dalam sistem perundangan Barat juga
sedikit sebanyak memberi impak kepada Islamofobia. Kes seperti Andrei Breivick
yang membunuh 77 orang di Sweeden, Alxandre Bissonette membunuh 6 orang di
Quebec, Marc Lepine membunuh 14 orang di Motreal, Mohammed Merah membunuh 7
orang di Tolouse dan yang terkini Breton Tarrant yang membunuh 50 orang di
Christchurch, semua mereka ini paling tinggi hukumannya adalah penjara seumur
hidup tanpa parol.
Sedikit
sebanyak sistem perundangan sebegini menjadikan mereka yang terlibat tidak rasa
perbuatan mereka akan dibalas dengan nyawa.
Seperkara
lagi, Islamofobia juga ada kaitan dengan hak asasi manusia yang diperjuangan
oleh Barat. Siri-siri perhimpunan dan demonstrasi anti imigran, anti Islam,
anti LGBT, anti wanita, anti kapitalis, anti kulit hitam, anti demokrasi dan
pelbagai gerakan bersifat ekstrem syap-kanan ini dibenarkan di Barat.
Hak
mereka untuk berhimpun, kebebasan bersuara, kebebasan menyatakan pandangan,
kebebasan menyertai mana-mana kumpulan walaupun bergerak secara radikal,
kesemua ini terpelihara di negara Barat.
Keadaan
ini juga sebenarnya telah menyuburkan sentimen Islamofobia apabila perhimpunan
sebegini diberikan publisiti dan dimuatnaik di media-media sosial dan media
rasmi negara Barat. Malah debat secara terbuka juga dibenarkan walaupun isunya
berkaitan kebencian agama dan Ketuanan Kulit Putih.
Faktor
keempat adalah berkaitan dengan ketidak fahaman mejoriti masyarakat Barat
tentang Islam. Mereka mempunyai maklumat yang sangat cetek tentang Islam malah
sentiasa disogokkan dengan perkara yang tidak tepat tentang Islam. Ini
menjadikan mereka mempunyai persepsi yang tidak benar tentang Islam, pada
pandangan mereka, Islam adalah agama yang ganas, barbarik, tidak bertamadun,
menganiaya wanita, tidak toleran dan pelbagai persepri negatif lainnya.
Malah
sebahagian mereka hanya mengenali Islam melalui media yang bersikap berat
sebelah dan mempromosikan agenda anti Islam. Malah setiap Muslim yang ke masjid
juga dianggap melakukan ritual keganasan dan menyebarkan elemen keganasan.
Faktor
kelima dan keenam ini adalah faktor penarik atau faktor dalaman dan kelemahan
Muslim itu sendiri, tidak dapat dinafikan sama sekali bahawasanya sikap
inklusif sebahagian Muslim di Barat menjadi punca pengembangan Islamofobia.
Umat Islam yang berhijrah ke Barat ada yang bersikap tidak toleran, sangat
inklusif dan menolak asimilasi. Mereka lebih senang bergerak dan bersosial
dalam kelompok mereka sendiri, malah ada yang menolak untuk menerima idea Barat
walaupun ianya baik.
Selain
itu, sikap sebahagian mereka yang ekstrem dalam memahami dan mengamalkan Islam
juga menjadi faktor yang menyuburkan Islamofobia. Ada juga sesetengah pemimpin
pertubuhan Islam dan imam masjid mempromosikan keganasan tanpa mereka sedari
kerana pemahaman tentang Islam yang amat berbeza.
Kehidupan
di dunia Barat mestilah mengambil kira semua perkara kerana mereka adalah
sebahagian daripada negara Barat itu sendiri. Harus diingat, Barat yang sanggup
menerima imigran Muslim, menggunakan duit pembayar cukai dan berkongsi kekayaan
negara dengan imigran dan Muslim lainnya adalah merupakan sebuah hakikat yang
harus diterima.
Walau
bagaimanapun, didapati Islam sebenarnya semakin berkembang di Barat walaupun
dihimpit dengan isu Islamofobia. Semakin Islam ditekan, kelihatannya syiar
Islam semakin berkembang.
Peratusan
masyarakat Barat yang ingin tahu tentang Islam semakin meningkat apabila
kejadian keganasan berlaku sama ada dilakukan oleh pihak Barat mahupun umat
Islam itu sendiri. Ini merupakan impak positif dari Islamofobia.
*Prof
Madya Dr Mohd Mizan Aslam merupakan Profesor Madya UNIMAP dan Profesor
Kunjungan, Pusat Kajian Timur-Barat Universiti of Hawaii, Honolulu USA
**
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak
semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.