Friday 31 March 2023

Tommy, Latheefa, Gopal yang mulakan ‘sarkas’ ini - Sian See

 By Hussaini Amran 

- 28 March 2023


KUALA LUMPUR - Tiga individu perlu dipertanggungjawabkan atas pembaziran masa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan mahkamah serta yuran guaman yang ditanggung oleh 41 defendan dalam kes pelucuthakan sivil berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, mereka ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dan bekas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Menurut beliau, mereka yang memulakan ‘sarkas’ tersebut apabila memfailkan permohonan pelucuthakan sivil terhadap 41 individu dan entiti pada Jun 2019 untuk mendapatkan semula RM270 juta dana yang dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ia adalah berita besar pada masa itu dan mendominasi tajuk berita ketika itu.

“Empat tahun kemudian, bab itu kini telah ditutup pagi ini apabila mahkamah rayuan memerintahkan semua wang yang dibekukan dikembalikan kepada perayu dalam tempoh dua bulan bersama dengan faedah terakru,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan kerajaan memulangkan kembali sejumlah RM21.1 juta yang sebelum ini telah dilucuthak selepas didakwa ia merupakan dana yang diseleweng daripada 1MDB.

Sian See menambah, selepas berpuluh perbicaraan di mahkamah serta masa AGC dan mahkamah dibazirkan selama empat tahun, kerajaan pada dasarnya gagal dalam semua 41 kes pelucuthakan.

Beliau memberitahu, satu-satunya kes kerajaan ‘menang’ adalah apabila defendan tidak mencabar saman itu kerana mereka percaya bahawa mereka akan membelanjakan lebih banyak yuran guaman untuk memerangi kes itu berbanding jumlah yang diminta untuk dilucuthakkan.

“Atau mereka adalah institusi kerajaan seperti Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Yayasan Tun Hussein Onn (ya, nampaknya wang yang dibayar Najib untuk buku dan untuk kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada badan kebajikan juga didakwa pengubahan wang haram),” jelasnya.

Sian See berkata, akhirnya, satu-satunya pihak yang mendapat manfaat ialah peguam persendirian yang dibayar yuran tinggi oleh 41 defendan.

“Orang ramai dan kerajaan tidak mendapat apa-apa kecuali banyak membuang masa dan perbelanjaan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette


Tommy Thomas

Latheefa Koya

Gopal Sri Ram
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title