"Pergilah bawa suratku ini, serta
campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu
perhatikanlah apa tindak balas mereka".
(Setelah membaca surat itu), berkatalah
raja perempuan negeri Saba': "Wahai ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah
disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia.
Sesungguhnya surat itu dari Nabi
Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha
Pemurah, lagi Maha Mengasihani,
Bahawa janganlah kamu meninggi diri
terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan
mematuhi ajaran agama Allah). ' "
Raja perempuan itu berkata lagi:
"Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang
aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir
memberi pendapat dan mempersetujuinya".
Mereka menjawab: "Kita adalah orang-orang
yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau
bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak
perintahkan."
Raja perempuan itu berkata:
"Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka
merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan
sedemikian itulah mereka akan lakukan.
Dan bahawa aku hendak menghantarkan
hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan
dibawa balik oleh utusan-utusan kita"
Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu)
datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya):
"Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa
yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya
kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah
yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang
kamu hadiahkan dengan perasaan megah).
"Kembalilah kepada mereka, (jika
mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi
mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami
akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi
orang-orang tawanan."
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan
bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang
dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam
keadaan berserah diri memeluk Islam?"
Berkatalah Ifrit dari golongan jin:
"Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat
dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi
amanah".
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu
pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam
sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di
sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk
mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya.
Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah
terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka
tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi
Maha Pemurah".
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada
orang-orangnya): "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita
melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya
itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang
demikian".
Maka ketika ia datang mengadap, Nabi
Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?" Ia menjawab:
"Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum
berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung
perintah Allah)".
Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam
pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang
lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir.
(Setelah itu) dikatakan kepadanya:
"Dipersilakan masuk ke dalam istana ini." Maka ketika ia melihatnya,
disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan
pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah
istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar yang
demikian), Balqis berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah
menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri
memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam."
(Al-Quran,
surah an-Naml: 28-44)
No comments:
Post a Comment