Thursday, 6 March 2025

Kesabaran kunci kebahagian

 

Gambara hiasan

Sebuah pesanan yang menekankan bahawa di dunia penuh dengan keriangan, kesabaran memainkan peranan penting untuk kita mencapai kebahagiaan yang hakiki.

Kesabaran adalah sifat penting dalam kehidupan.

Dalam kehidupan seringkali kita terdedah kepada pelbagai cabaran dan ujian.

Terburu-buru membuat keputusan, terperangkap dalam kitaran mengejar kejayaan tanpa memberi ruang berfikir dan bertindak dengan bijak.

Tanpa kesabaran, kita lebih cenderung membuat keputusan tergesa-gesa yang mungkin membawa penyesalan.

Sering, kita mahu segala-galanya berlaku dengan cepat, pantas dan tanpa halangan, namun hakikatnya, tidak semua yang kita inginkan akan datang dengan mudah.

Dalam menghadapi situasi ini, sifat kesabaran penting pada diri.

Kesabaran adalah salah satu nilai yang sangat tinggi martabatnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 153:

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

Maka, kesabaran diperlukan dalam menghadapi musibah atau kesulitan, tetapi jangan lupa tonggaknya melalui salat sebagai ketakwaan kepada Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan sebagai umat yang beriman.

Biasakah kita mendengar kata-kata ini? Maksudnya:

“Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.”

Dan adalah Ibn Umar RA berkata:

“Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu.” (Hadith Riwayat al-Bukhari (6053))

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

”Ajaibnya urusan seorang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka. Dan hal itu tiada bagi seorang pun melainkan bagi orang Mukmin sahaja. Jika dia mendapat suatu perkara yang menyenangkan, dia bersyukur, maka itu ialah kebaikan baginya. Dan jika dia mendapat suatu perkara yang menyusahkan, dia bersabar, maka itu juga ialah kebaikan bagi dirinya.” (Hadith Riwayat Muslim (2999))

Kesabaran bukan sahaja membantu menahan diri dari rasa marah atau kecewa, tetapi juga mengajar kita untuk menghargai proses kehidupan.

Kadang-kadang apa yang kita impikan mungkin tidak datang dengan mudah tetapi memerlukan ketekunan, kesabaran dengan kesungguhan melakukannya acap kali tanpa menyerah.

Dalam ajaran agama dan falsafah hidup, di sana ia dianggap sebagai sifat yang membawa ketenangan hati dan memperkaya pengalaman hidup.

Sebagai umat Islam, kesabaran adalah sifat mendekatkan diri kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

Marilah kita jadikan kesabaran hari ini, sebagai amalan kehidupan.

Besok kita lakukan lagi.

Lusa pun sama juga.

Hari-hari seterusnya kita jadikan rutin kehidupan.

Kita sematkan dalam kehidupan kerana melalui kesabaran, membuka pintu kebahagiaan, ketenangan dan keyakinan.

Hiduplah dengan diselimuti oleh kesabaran!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title