Keberkatannya dapat dilihat sehingga dihitung hari demi hari
bulan di hadapannya supaya sampai kepadanya, Ramadan Mubarak.
Demikian pula bulan-bulan yang lain juga penuh keberkatan.
Manakala hari Jumaat terus berlalu akan bertemu pula dengan hari-hari Jumaat yang mendatang, akhirnya bertemu bulan yang silih berganti dan tahun yang berubah musim.
Perkara itu terus berlaku kerana detik, saat dan masa yang bergerak tidak pernah berhenti.
Daripada Ibnu Umar RA berkata: “Rasulullah SAW memegang kedua bahuku seraya bersabda: “Hiduplah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara”, Ibnu Umar berkata: “Jika engkau berada di pagi hari, jangan tunggu sampai petang hari. Jika engkau berada di petang hari, jangan tunggu sampai pagi. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang sakitmu. Manfaatkanlah waktu hidupmu sebelum datang matimu.” (HR Bukhari)
Dalam al-Quran terdapat pesanan Luqman
terhadap anaknya yang dirakamkan dalam surah Luqman untuk dijadikan panduan
kepada kita:
”Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
”Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".
”Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
”Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
”(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai". (Quran, surah Luqman: 12-19)
Ketika hayatnya, Hassan Ahmed Abdel Rahman Mohamed El-Banna atau dikenali sebagai Imam Hassan Al-Banna, Pengasas dan ketua Ikhwan Muslimin, Mesir, memberi nasihat:
1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang
serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.
2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke
majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam
perkara yang tiada memberi faedah.
3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah
kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.
4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun
kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.
5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa
berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang
berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang
dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu
perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang,
mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang
memberi kebajikan.
9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui
kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang
ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah
perlaksanaannya.