Sunday 19 February 2023

Masjid Zaid Thabit anjur khatan untuk anak kariah

Haji Zolkafli Suhor, Pengerusi Masjid Zaid bin Thabit

CHERAS, 18 Februari  -   Masjid  Zaid  bin  Thabit (MZBT),  Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur dengan  sokongan  Yayasan Tan Sri  SM Nasimuddin telah menjayakan 'Program Grand Sunathon Asnaf  Masjid  Zaid Bin Thabit' dengan sempurna melalui penyertaan seramai 100 anak-anak kariah berumur antara 5 tahun hingga 12 tahun. 

Program ini mendapat kerjasama Klinik Iltizam Ampang Waterfront, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan ibu bapa anak-anak  peserta berkhatan.

Pengerusi MZBT merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan 'Program Grand Sunathom Asnaf Masjid Zaid Bin Thabit'.

"Ucapan berbanyak terima kasih kepada semua pihak sama ada sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada  'Program Grand Sunathom Asnaf Masjid Zaid Bin Thabit'. 

"Semoga semua khidmat bakti yang dicurahkan terutama Jawatankuasa MZBT, hanya Allah SWT membalasnya," ujar Zolkafli Suhor, Pengerusi MZBT ketika meluahkan ucapan terima kasihnya kepada semua pihak yang menjayakan program 'Sunathon' sehingga berjaya mengumpulkan anak-anak seramai 100 orang; 80 orang di khatan di masjid dan 20 orang akan berkhatan di Klinik Iltizam Waterfront, Ampang, Selangor Darul Ehsan.

Anak-anak yang terlibat dalam program ini, selepas salat Subuh telah kelihatan bersedia di masjid dengan semangat meyakinkan walaupun pendaftaran peserta hanya dibuka selepas pukul 7.00 pagi.

Keseronokan anak-anak dalam program 'Sunathon' terlihat apabila diarak memasuki ruang masjid dan selepas itu diberi pancutan air yang dilakukan oleh Haji Mohammad Khalil dengan dibantu oleh pihak bomba.

Jeritan keseronokan anak-anak, melompat-lompat keriangan dan beberapa anak-anak bermain-main mengelongsor dengan air yang bertakung di sekitar mereka seperti air hujan turun dari langit.

Sebelum semburan air bomba membasahi dan memandikan anak-anak, majlis perasmian disempurnakan oleh Ustaz Haji Mohammad Khalil Ibrahim,  Ketua Zon 5, mewakili Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Turut hadir memeriahkan progam Sunathon; Mahadi Yunus, Pegawai Khas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Mohd Farid Abdul Razak, mewakil Yayasan  Tan Sri SM Nasimuddin, dan ibu bapa anak-anak peserta terlibat.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Your Blog Title

First post's title

Second post's title

Sidebar Gadget title