
01 Ogos 2018 3:00 AM
SYDNEY 31 Julai – Ahli
keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 menolak laporan
berhubung misteri kehilangan pesawat berkenaan yang dikeluarkan oleh pihak
berkuasa Malaysia.
Portal berita Tendaily
melaporkan, ahli keluarga penumpang warga China mendakwa kerajaan Malaysia
menyembunyikan maklumat sebenar, selain menyatakan semua penumpang pesawat
tersebut masih hidup.
Seorang daripada ahli
keluarga penumpang yang dikenali sebagai Zhang Yongli berkata, laporan
tersebut adalah satu konspirasi politik.
Jelasnya, laporan yang dibuat
itu menjelaskan mengenai proses pencarian, tetapi tidak menyentuh isu
berkaitan penumpang atau pesawat yang hilang.
“Kami lebih ingin mengetahui
di mana ahli keluarga kami yang menaiki pesawat tersebut, bukannya di mana
lokasi MH370 berada,” katanya.
Anak perempuan Yongli
merupakan seorang daripada 239 penumpang MH370 ketika pesawat tersebut hilang
dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Seramai 153 daripada 239
penumpang merupakan warga China termasuk enam rakyat Australia.
Seorang lagi ahli keluarga
mangsa, Zhang Meiling yang kehilangan anak perempuan serta menantunya turut
mendakwa kejadian yang menimpa MH370 adalah satu penipuan dan tidak pasti
mengapa kerajaan Malaysia menyembunyikan perkara sebenar daripada pihak-pihak
terlibat.
Menurutnya, dia juga berang
dengan kerajaan China yang sehingga kini gagal memberi maklumat yang tepat,
selain bertegas semua penumpang dalam pesawat berkenaan masih hidup hingga
kini.
Kedua-dua ahli keluarga
tersebut yakin para penumpang MH370 kini ditahan di suatu tempat rahsia dan
melibatkan banyak pihak selain Malaysia untuk membebaskan mereka.
Selain itu, Yongli memaklumkan
kesemua ahli keluarga penumpang akan mengadakan pertemuan dengan MAS dan pihak
berkuasa Malaysia pada 3 Ogos ini di Beijing.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mh370-waris-mangsa-warga-china-berang-1.720204#ixzz5MtJWxfMW
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment