Al-Quran
menyatakan:
“Allah
berfirman: "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia
(yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan
KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah
dirimu dari orang-orang yang bersyukur."
Dan
Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai
jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat
dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan
bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang
sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu
akan negeri orang-orang yang fasik – derhaka."(Quran,
surah Al-A'raaf 7:144-145)
Marilah
kita syukuri hari ini, dengan ketika berada saat ini tidak memikirkan untuk
sampai ke petang, atau menunggu-nunggu waktu sehingga sampai ke malam atau
mengingat-ingat untuk sampai ke waktu pagi esoknya pula.
Ibnu
Umar berkata:
“وكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ
فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ”
“Bila
kamu berada di petang hari, maka janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi,
dan bila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang.
Pergunakanlah waktu sehatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu.” (Hadith riwayatkan oleh Imam Bukhari)
Begitulah
silih bergantinya pagi petang dan siang malam.
Hari
ini adalah peluang untuk hidup. Jangan memikirkan hari kelmarin yang telah
berlalu dengan pelbagai kisahnya; kebaikan dan keburukannya. Tidak juga dengan
hari esok yang belum pasti datang.
Hari
ini matahari memancarkan sinarnya gemerlapan mengenai kita, maknanya siangnya
menyapa kita. Siang yang hening itu membuatkan kita mampu melihat alam sekitar,
mampu dicapai oleh mata dan perasaan. Itulah hari kita, maka manfaatkanlah hari
ini sebaik-baiknya. Ibarat pengantin baru, memanfaatkan hari-hari halimunannya.
Atau penembak tepat dimedan perang memanfaatkan peluangnya. Anggaplah
detik-detik kehidupan kita hanya hari ini saja, seakan-akannya kita dilahirkan
hari ini dan akan mati hari ini juga.
Falsafah
ini akan menyelamatkan kehidupan kita sehingga tidak tersepit di antara dua
kehidupan; masa lalu dengan berbagai kesedihan, kegembiraan dan ketidaktentuan
yang terjadi ketika itu, dan masa depan yang penuh ketidakpastian dan acapkali
menakutkan.
Marilah
kita pusat dan fokuskan seluruh perhatian dan kreativiti kita untuk satu hari
ini. Pada hari inilah, bulatkan tekad persembahkan ikrar terbaik kita, kualiti
salat dan puasa kita, yang paling khusyuk dan tawaduk, membaca dan memahami
al-Quran secara mendalam, mentaddaburnya secara rendah diri, menzahirkan
keikhlasan berbuat umrah dan haji, menghayati jihad secara total dan bersifat
kontemporari, merenung kehidupan dunia dengan penuh hati dan kemanisannya,
keseimbangan dalam segala perkara, mempersembahkan akhlak yang terindah dan
kerelaan dengan semua yang Allah s.w.t. berikan, perhatian terhadap keadaan
sekitar, ambil ingatan terhadap kesihatan jiwa dan raga serta menambat hati dan
memanfaat semua potensi kepada orang lain.
Semoga
'hari ini adalah milik kita', adalah suatu ungkapan yang paling indah,
membisik-bisik dan memiliki kekuatan yang hakiki, mutlak untuk kejayaan diri
seperti yang kita inginkan, iaitu syurga di sini dan di sana.
Buatlah
yang terbaik untuk hari ini.
Selamat menjalani ibadat hakiki.
No comments:
Post a Comment